MANILA: Kepulan gelap setinggi kira-kira 1.2 kilometer dikesan di Gunung Berapi Kanlaon, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).

Letusan abu bermula pada 11.45 pagi, diikuti gempa gunung berapi berfrekuensi rendah, menurut Phivolcs.

Dalam satu nasihat, Phivolcs memberi amaran abu gunung berapi dijangka meliputi kawasan berpenduduk di barat laut hingga ke barat gunung berapi itu di Negros Occidental.

Walaupun parameter gunung berapi lain kekal tinggi, tiada perubahan signifikan yang berlaku.

Gunung Berapi Kanlaon berada pada Tahap Amaran 3 (pergolakan magmatik) sejak 9 Dis, menunjukkan kemungkinan letusan lebih kuat dan tiba-tiba yang boleh mengancam nyawa penduduk berdekatan.

Penduduk yang tinggal dalam lingkungan radius enam kilometer dari kawah puncak harus dipindahkan kerana bahaya seperti aliran piroklastik (PDC), abu yang jatuh dan kesan balistiknya, aliran lahar, runtuhan batu dan risiko lain yang berkaitan.

Phivolcs juga memberi amaran mengenai kemungkinan hujan lebat yang boleh mencetuskan aliran lahar dan aliran sungai sarat sedimen di saluran lereng selatan gunung berapi.

"Secara khusus, barangay La Castellana dan Canlaon City yang pernah terkesan oleh aliran PDC, serta barangay hilir yang terjejas oleh lahar dan aliran sungai berlumpur pada Jun 2024, mungkin menghadapi risiko aliran lahar jika berlaku hujan lebat," kata Phivolcs.

Phivolcs turut menggesa pihak berkuasa penerbangan untuk memberi peringatan kepada juruterbang agar mengelak terbang berhampiran puncak Gunung Kanlaon, kerana abu daripada letusan boleh membahayakan pesawat.

-- BERNAMA