PAGOH: Selepas lima hari diburu, suspek utama kes bunuh dan bakar rumah yang menyebabkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan,di sini, Jumaat lalu berjaya dicekup polis.

Suspek yang berusia 48 tahun itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Muar bagi mendapatkan perintah reman.

Lelaki yang merupakan anak sulung pasangan suami isteri itu sebelum ini diburu selepas dipercayai melarikan diri ketika rumah mereka hangus dijilat api.

Ketua Polis Daerah Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan, bagaimanapun maklumat lanjut berhubung tangkapan akan dibuat kemudian.

“Pagi ini (suspek) akan dibawa (reman) dan nanti saya akan keluarkan kenyataan media,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.

Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan kemudian selamat disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Paya Redan manakala jenazah datuk dan neneknya masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaanya yang rentung lebih 80 peratus.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh ketiga-tiga mangsa yang maut.