MIRI: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Pangkalan Lutong di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Abdullah Nassa berusia 77 tahun dan isterinya Jaimah Badar, 64.

"Kedua-dua mangsa dijumpai rentung pada 12.15 tengah hari di kawasan bilik mandi. Mangsa diserahkan kepada pihak polis pada 1.15 petang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.55 pagi sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dan BBP Lopeng digerakkan ke lokasi.

Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada 11.30 pagi dan rumah berkenaan terbakar 100 peratus.

Sementara itu, seorang anggota polis dan enam ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan kuarters kediaman mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, petang semalam.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.10 petang sebelum sepasukan 14 anggota bomba dari BBP Miri Sentral bersama jentera ke tempat kejadian.

Kediaman diduduki Mac Rayston Patrick bersama isteri dan lima anaknya di tingkat tiga kuarters berkenaan musnah 80 peratus dalam kebakaran itu.

-- BERNAMA