Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata JBPM Kelantan telah melakukan pemeriksaan di kesemua lokasi terbabit sebelum ini.
"Kita juga telah berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan pasukan petugas di premis terlibat selain pihak keselamatan tahu menggunakan alatan asas mencegah kebakaran seperti alat pemadam api.
"Bagaimanapun, sukar sebenarnya untuk cakap mengenai risiko banjir. Tetapi, kalau ikut kawasan, Nenggiri berada di kawasan hulu sungai. Jadi, kemungkinan banjir itu rendah sebab pertama, ia masih di kawasan berbukit dan keduanya sungai di situ arusnya bersifat deras.
"Bagaimanapun, JBPM sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Tahun 2024 JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di sini, hari ini.
PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.
PRK itu diadakan susulan bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun.
Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya menerima 3,200 panggilan berhubung insiden kebakaran terbuka sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula Mei lepas.
"Bulan lepas berlaku peningkatan yang mengejutkan iaitu kita terima sebanyak 1,800 panggilan...meningkat tiga kali ganda daripada 610 panggilan yang direkodkan pada Jun. Keseluruhannya, kita rekodkan 3,200 panggilan setakat ini.
"Kerisauan juga berlaku apabila pada hujung Julai berlaku kebakaran terbuka di pusat pelupusan sampah misalnya di Teluk Panglima Garang, Selangor yang mana kita ambil sembilan hari untuk kerja pemadaman, namun kehadiran hujan dalam seminggu ini sebenarnya mengurangkan tekanan kita berhubung isu kebakaran terbuka ini," katanya.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata kehadiran hujan lebat berintensiti tinggi dan tertumpu di satu tempat turut menimbulkan kegusaran pihaknya berhubung banjir kilat seperti di Penampang, Sabah bulan lepas dan di ibu negara, Hulu Selangor dan di Pulau Pinang, semalam.
"Kita harap masyarakat akan peka terhadap risiko banjir kilat jika mereka berada di kawasan-kawasan yang kerap berlaku musibah itu," katanya.
-- BERNAMA