MEKAH: Berbaki lapan hari sebelum berwukuf, seramai 28,258 jemaah sudah berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk operasi haji musim 1445H/2024M, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.


Ringkasan AI
  • Seramai 28,258 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk operasi haji musim 1445H/2024M. Daripada jumlah itu, 28,208 orang jemaah sudah berada di Mekah, manakala baki 50 kini di Madinah.
  • Sehingga 6 Jun 2024, 52 orang jemaah haji Malaysia jatuh sakit dan dirawat di Pusat Rawatan TH di Mekah dan Hospital Arab Saudi. Kebanyakan jemaah yang menerima rawatan adalah disebabkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru dan lain-lain penyakit, seperti masalah jantung serta sakit otot dan sendi.
  • Jemaah haji disarankan menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas di Mekah yang boleh mencecah sehingga 47 darjah Celcius.


Menurut beliau, daripada jumlah itu, 28,208 orang jemaah sudah berada di Mekah, manakala baki 50 kini di Madinah, iaitu jemaah yang diuruskan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Syed Saleh berkata, 91 penerbangan atau 91 peratus penerbangan sudah sampai di Tanah Suci dengan 50 adalah penerbangan sewaan khas AMAL oleh MAS dan baki 41 pula menerusi Saudi Airlines, Saudia.

"Hanya sembilan sahaja lagi pesawat belum masuk ke Arab Saudi untuk membawa jemaah mengerjakan haji bagi musim kali ini, di mana jemaah terakhir berbaki 39 orang dijangka tiba di Mekah pada 10.20 pagi waktu tempatan pada 9 Jun ini," kata beliau kepada petugas media di Mekah.

Kuota jemaah haji Malaysia seramai 31,600 orang pada tahun ini pertama kali memasuki Arab Saudi pada 9 Mei lepas dan kesemua mereka berlepas secara berperingkat menerusi 100 pesawat yang disewa khas.

Dalam perkembangan sama, Syed Saleh memaklumkan, sehingga 6 Jun 2024, 52 orang jemaah haji Malaysia jatuh sakit dan dirawat di Pusat Rawatan TH di Mekah dan Hospital Arab Saudi.

Menurutnya, kebanyakan jemaah yang menerima rawatan adalah disebabkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru dan lain-lain penyakit, seperti masalah jantung serta sakit otot dan sendi.

"Ada juga jemaah yang menerima rawatan kerana gangguan emosi dan dirujuk kepada pakar psikiatri. Ini kerana pesakit menjadi murung, tidak bercakap sebagaimana dimaklumkan rakan sebilik mereka,'' ujar Syed Saleh.

Beliau menambah, kesemua pesakit yang dirawat itu tidak berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji, TH, terus mengingatkan jemaah supaya tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas di Mekah ketika ini yang boleh mencecah sehingga 47 darjah Celcius.

"Ini kerana mereka perlu menjaga kesihatan diri dan bersedia fizikal dan mental untuk berwukuf di Arafah, bermabit dan bermalam di Muzdalifah serta Mina di mana jemaah akan bergerak pada 8 Zulhijjah lagi.

"Semua jemaah pula akan membuat pergerakan yang banyak dan perlu berjalan kaki sehingga 10 kilometer (km) sehari dalam cuaca yang mungkin boleh mencecah sehingga 50 darjah Celcius semasa wukuf.

"Dan ini sudah pasti memerlukan jemaah itu sihat untuk melaksanakan rukun dan wajib haji ini.

"Jadi, nasihat saya, jaga kesihatan dan elak terdedah kepada cuaca panas serta ketahui kemampuan diri dalam melaksanakan ibadah sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah," tambah Syed Saleh.

Sebagaimana diumumkan kerajaan Arab Saudi, 1 Zulhijjah adalah pada 7 Jun, di mana ini bermakna wukuf pada 9 Zulhijjah jatuh pada 15 Jun ini, bersamaan hari Sabtu. Aidiladha pula disambut pada Ahad iaitu, 16 Jun 2024.