MEKAH: Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah dan Madinah menjadi antara pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama yang mendapat kelulusan permit atau tasreh daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim haji kali ini.


Ringkasan AI
  • Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah dan Madinah menjadi antara pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama yang mendapat kelulusan permit (tasreh) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
  • Ia merupakan pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di Mekah.
  • Pusat Rawatan TH di Mekah dan Madinah menawarkan banyak kemudahan yang canggih dan memenuhi piawaian ditetapkan.


Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, permit di Mekah misalnya diperoleh sejak dua minggu lepas iaitu pada 4 Zulkaedah.

Sebelum ini, pusat rawatan di Madinah turut mendapat permit sama bagi pengoperasiannya di bandar itu untuk memberikan kemudahan kepada jemaah haji musim ini.

"Kelulusan permit-permit ini diberikan setelah melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

"Kita sifatkan ia satu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di Mekah.

Malah, tambahnya, ia cerminan pengiktirafan kualiti dan piawaian fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia.

Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata banyak kemudahan ditawarkan di Pusat Rawatan TH di Mekah di mana kesemuanya sangat canggih dan memenuhi piawaian ditetapkan.

"Penyediaan rawatan itu termasuk rawatan kecemasan, hospital kepakaran yang merangkumi kesihatan awam, keluarga, bius, psikiatri, gigi, dietetik, perkhidmatan ambulans dan banyak lagi," kata Syed Saleh.

Tambah beliau, Pusat Rawatan di Mekah dan Madinah juga memiliki kelengkapan katil mencukupi untuk menampung pesakit jemaah haji musim ini.

Daripada lebih 600 petugas yang datang dalam operasi haji tahun ini, 278 orang adalah rombongan petugas perubatan terdiri daripada doktor pakar, pegawai berpengalaman, dan petugas baharu.

Selebihnya adalah petugas kebajikan, terdiri daripada pengurusan teknologi maklumat, kewangan, media, khidmat pelanggan, pengelola jemaah, katering, pengurusan maktab dan sebagainya.