MEKAH: Dua lagi jemaah haji Malaysia, seorang lelaki dan wanita meninggal dunia minggu ini, menjadikan keseluruhan empat jemaah haji negara meninggal dunia setakat ini.


Ringkasan AI
  • Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia minggu ini, menjadikan jumlah keseluruhan empat jemaah haji negara meninggal dunia setakat ini.
  • Jemaah yang meninggal dunia ialah Ghazali Ahmad, 71, dari Kedah, dan Noormadiah Mat Ali, 53, dari Terengganu. Mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.
  • Punca kematian adalah disebabkan kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut serta jangkitan kuman pada paru-paru.
  • Tabung Haji (TH) akan membuat badal haji kepada kedua-dua jemaah haji ini dengan kosnya ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.


Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kematian lelaki berusia 71 dan wanita 53 tahun itu masing-masing disebabkan  kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut serta jangkitan kuman pada paru-paru.

"Jemaah Ghazali Ahmad, 71 tahun dari Kedah, meninggal dunia pada 3 Jun di sebuah hospital di Arab Saudi kerana kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut.

"Manakala pada 4 Jun 2024, jemaah Noormadiah Mat Ali, 53 tahun, dari Terengganu pula meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman di paru-paru.

"Beliau juga asalnya dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH), tetapi dirujuk ke Hospital Arab Saudi dan meninggal dunia di sana," ujar beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat TH di Abraj Al-Jenadriyah, Mekah, hari ini.

Allahyarham Noormadiah adalah jemaah wanita pertama meninggal dunia dalam operasi haji musim ini.

Ghazali dan Noormadiah masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.

Waris kepada Allahyarham Ghazali, iaitu isteri Pauziah Othman sudah dimaklumkan mengenai kematian suaminya.

Manakala TH juga sudah memaklumkan suami kepada Allahyarham Noormadiah, Mahmad Zahir Yahya mengenai kematian isterinya itu.

"TH akan membuat badal haji kepada kedua-dua jemaah haji ini dengan kosnya ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia," ujar Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH.

Dua kematian jemaah haji negara sebelum ini ialah Abnil Hajar Ismail, 72, dari Kedah yang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.

Manakala, pada 29 Mei lepas, kematian kedua menimpa Mohd Zahir Ismail, 58, yang menghembuskan nafas terakhir semasa tawaf umrah pertama akibat diserang sakit jantung.

Kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini yang diberikan Arab Saudi ialah seramai 31,600 orang.

Wukuf di Arafah pada tahun ini ialah pada 9 Zulhijjah iaitu pada 15 Jun ini bersamaan hari Sabtu, iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.