KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memacu daya tahan ekonomi dan jaminan bekalan tenaga Malaysia susulan pengumuman prestasi kewangan yang kukuh dan mampan bagi tahun 2024.

Lebih penting lagi, kejayaan ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.

TNB sebagai sebuah GLC yang bertanggungjawab, komited terhadap kemampanan kewangan dan melabur semula kejayaannya kepada Malaysia, menyokong rakyat Malaysia melalui dana pencen, pembangunan ekonomi, dan penyelesaian tenaga mampu milik.

“Komitmen kami melangkaui pembekalan elektrik; kami menerangi masa depan Malaysia,” kata Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja tertumpu kepada kelangsungan kewangan tetapi untuk memastikan kejayaan TNB dipulangkan kepada negara melalui sokongan melalui dana pencen, pertumbuhan ekonomi dan akses tenaga yang lebih mampu milik untuk rakyat,” tambah beliau.

Selain itu, Program Lampu Jalan Kampung yang telah dilancarkan pada tahun 2000 telah memanfaatkan penduduk luar bandar dengan pemasangan lebih 525,000 lampu jalan.

Di bawah Fasa 11 bermula 2024, sebanyak 14,210 lampu LED cekap tenaga telah dipasang, dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Peningkatan keselamatan dan kesalinghubungan di kampung-kampung terbabit ini telah menggalakkan aktiviti ekonomi dan memacu kemajuan negara yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan 60 peratus daripada keuntungan diagihkan melalui dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (KNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH), TNB memastikan bahawa rakyat Malaysia, pesara dan generasi akan datang mendapat manfaat daripada sektor tenaga yang stabil dan berfokus kepada masa hadapan.

Jelas Abdul Razak, TNB mengamalkan polisi keuntungan yang memastikan pendapatan syarikat dilaburkan semula ke dalam inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.

"60 peratus dividen TNB membawa pelbagai manfaat kepada rakyat. Peranan TNB bukan sekadar membekalkan tenaga ke rumah dan perniagaan, malah kami juga memacu kemajuan negara.

"Dividen yang diumumkan oleh TNB memberi manfaat kewangan secara langsung kepada berjuta rakyat Malaysia melalui GLIC, yang secara kolektif memegang lebih daripada 60 peratus saham TNB.

"Ini memberi jaringan keselamatan kewangan yang lebih besar kepada pesara dan rakyat Malaysia, di samping menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang," ujarnya.

TNB juga giat memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak nyata kepada rakyat Malaysia, merangkumi empat teras utama iaitu pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

“Inisiatif ini termasuk memperluaskan projek pembekalan elektrik (elektrifikasi) di kawasan luar bandar, menyediakan program latihan pendidikan dan kemahiran, serta membiayai projek lestari berasaskan komuniti,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Salah satu kebimbangan utama rakyat ialah sama ada keuntungan TNB mempengaruhi kadar tarif elektrik. TNB memberi jaminan tarif dikawal oleh kerajaan dan tidak berkait dengan keuntungan TNB, dengan pelaburan semula dalam kecekapan grid membantu mengekalkan kadar tarif yang berpatutan dan menghindari sebarang peningkatan yang tidak munasabah.

Selain itu, program mengutamakan rakyat seperti insentif solar dan tarif mengikut masa penggunaan yang membantu mengurangkan bil elektrik.

“Kami memahami bahawa rakyat Malaysia mahukan kesaksamaan dan ketelusan. Komitmen kami jelas, iaitu keuntungan tidak diambil begitu sahaja, tetapi dikembalikan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih baik, tarif yang stabil dan jaminan bekalan tenaga jangka panjang,” tambah Datuk Ir. Megat Jalaluddin.

Prestasi kewangan yang kukuh membolehkan TNB melabur semula dalam infrastruktur negara, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperluaskan akses kepada tenaga bersih yang mampu milik bagi kediaman serta perniagaan, sekaligus memperkukuh pertumbuhan mampan Malaysia.

“Apabila TNB maju, Malaysia juga makmur. Ini bukan semata-mata mengenai keuntungan, tetapi memastikan masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada bekalan tenaga yang mampan, berpatutan dan berdaya harap,” jelas Megat Jalaluddin lagi.

Ketika Malaysia beralih ke tenaga yang lebih bersih pada masa hadapan, TNB menerajui usaha kelestarian dengan melabur dalam tenaga boleh baharu seperti solar, hidro dan hidrogen hijau, memodenkan grid nasional untuk kecekapan, kebolehpercayaan dan integrasi tenaga hijau, serta membiayai penyelesaian tenaga pintar bagi membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara berkesan.

“Kelestarian bukan sekadar matlamat, ia adalah tanggungjawab kita kepada generasi akan datang. TNB komited menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses, mampu milik dan bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia,” kata Abdul Razak.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, bil elektrik bagi 85 peratus rakyat Malaysia yang menerima subsidi akan dilabelkan hijau, melambangkan visi kerajaan MADANI yang bukan sahaja melindungi kesejahteraan rakyat tetapi juga menekankan kemampanan tenaga. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam tentang manfaat yang diberikan oleh kerajaan.

Misi TNB adalah jelas, iaitu memacu kemajuan negara sambil memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada kejayaannya.

Melalui pelaburan strategik, tadbir urus yang bertanggungjawab dan komitmen teguh kepada rakyat, TNB kekal sebagai rakan tenaga utama Malaysia.

“Setiap lampu yang kita nyalakan, setiap perniagaan yang kita sokong, setiap rumah yang kita bekalkan tenaga, itulah erti sebenar pembangunan negara. Kami di sini sedia berkhidmat dan menerangi masa depan Malaysia bersama,” tambah Megat Jalaluddin lagi.