Pada aksi di padang 2 Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil di sini, malam tadi, pemain kebangsaan Korea Selatan Jang Jong Hyun meletakkan TNB di hadapan selepas menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-27, namun THT pantas menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-30.
Jaringan kemenangan THT hadir pada suku ketiga perlawanan apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 sekali gus mengesahkan kejayaan pasukan.
Kejayaan itu mengubati kekecewaan THT yang tunduk kepada lawan sama pada edisi lepas, yang menyaksikan ia menyekat misi skuad dari Pantai Timur itu untuk merangkul gelaran Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut.
Ketua Jurulatih THT Mohd Harfizi Baharom berkata anak buahnya berjaya melunaskan janji untuk meraih kejayaan tanpa mengheret perlawanan ke masa tambahan dan penentuan penalti.
"Pemain hari ini (Sabtu) betul-betul dah set mentaliti mereka nak menang perlawanan ini tanpa penentuan pukulan penalti, nak menang bersih hari ini.
"Kalau kita tengok kita ada beberapa kekurangan yang akan diperbaiki pada sesi latihan terutama dari segi kombinasi pemain kita dan pemain import, jadi kita kena dapatkan kombinasi itu secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.
Sebagai rekod, kemenangan THT malam tadi menamatkan siri kemenangan berturut-turut TNB yang muncul juara treble pada edisi lepas.
Mohd Harfizi berkata segala kekurangan itu terutama dari segi kombinasi antara pemain akan cuba diperkemaskan lagi bagi menghadapi saingan liga selepas ini.
Terdahulu, dalam pertembungan Piala Sumbangsih kategori wanita menyaksikan Blue Warriors mendakap kejuaraan selepas mengatasi juara bertahan Malaysian University 1-0, dengan pemain kebangsaan Hanis Nadiah Onn muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-16.
-- BERNAMA