MEKAH: Rombongan haji Thailand berminat mahu meniru cara Malaysia menguruskan tabungan untuk jemaah mengerjakan haji sebagaimana amalan yang diguna pakai oleh Lembaga Tabung Haji (TH).


Ringkasan AI
  • Rombongan haji Thailand ingin meniru model Tabung Haji Malaysia yang menguruskan tabungan untuk umat Islam mengerjakan haji.
  • Kuota haji Thailand sering tidak dipenuhi dengan jumlah jemaah menurun kepada 7,730 tahun ini.
  • Malaysia dan Thailand saling bertukar pengalaman pengurusan haji dan TH mengundang delegasi Thailand untuk muzakarah sebelum musim haji bermula.


Menurut Ketua Majlis Agama Yala yang juga Ketua Delegasi Haji Thailand, Abdul Baziz Chema, buat masa ini Thailand belum lagi melaksanakan inisiatif seperti itu untuk bakal dhuyufurrahman mereka.

"Saya mengakui Malaysia adalah suri teladan dari segi mendidik orang ramai dari kecil untuk menyimpan bagi tujuan keagamaan seperti haji. Ini adalah salah satu aspek yang kami fikir sangat menarik untuk kami fahami dan pelajari.

"Tidak seperti Malaysia yang ada Tabung Haji, yang berpengalaman 60 tahun menguruskan hal ehwal haji, soal haji di Thailand diuruskan oleh pihak swasta, di mana terdapat 88 buah syarikat kesemuanya yang bertanggungjawab dengannya," katanya.

Beliau yang juga Penasihat Syeikul Islam Thailand menambah, daripada apa yang dimaklumkan kepadanya, TH telah terbukti cemerlang dalam menguruskan jemaah lebih-lebih lagi dalam soal simpanan sebagai persediaan jemaahnya menjadi tetamu Allah.

Beliau dan delegasi lain seramai 30 orang terdiri daripada pasukan perubatan dan media sosial sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H /2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan kumpulan pengurusan TH di ibu pejabat TH Abraj Jenadriyah.

Dalam pada itu, Abdul Baziz berkata, kuota haji setiap tahun yang diberikan kepada Thailand adalah sebanyak 13,000 tempat.

"Kuota itu tidak pernah diisi penuh. Ada sahaja halangan dalam kalangan jemaah untuk menunaiikan haji," ujar beliau.

Menurutnya, jemaah haji Thailand bagi musim tahun ini lalah seramai 7,730 orang, menurun sangat banyak berbanding tahun sebelumnya iaitu 11,000 orang disebabkan faktor ekonomi.

Manakala kos bagi mengerjakan haji di Thailand adalah kira-kira RM40,000.

Beliau turut memaklumkan, badan pengurusan haji negaranya hanya berperanan membantu jemaah haji, namun tidak mempunyai kawalan ke atas aktiviti lain seperti perkhidmatan simpanan dan pelaburan.

Dalam pada itu, Syed Saleh pula berkata, TH turut berkongsi model digunakan institusi itu dalam pelbagai aspek termasuk kos selain bertukar-tukar pengalaman mengenai cara menguruskan jemaah haji.

"Di akhir perbincangan, kita (TH) turut mengundang delegasi haji Thailand untuk datang ke Malaysia dan turut sama terlibat dalam muzakarah sebelum musim haji bermula," katanya.

Syed Saleh berkata, hubungan baik antara TH dan rombongan haji Thailand telah lama terjalin dengan perjumpaan diadakan setiap tahun bagi bertukar pandangan dan pengalaman dalam urusan haji kerana negara-negara Asia Tenggara berada di bawah muassasah yang sama.