MEKAH: Daripada 21,517 jemaah haji Malaysia yang sudah tiba di Tanah Suci, 62 orang jatuh sakit dan sedang dirawat di hospital di Arab Saudi dan Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Mekah.


Ringkasan AI
  • Daripada 21,517 jemaah haji Malaysia yang sudah tiba di Tanah Suci, 62 orang jatuh sakit dan sedang dirawat di hospital di Arab Saudi dan Pusat Rawatan TH di Mekah.
  • Penyakit yang dideritai kebanyakan jemaah adalah jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) selain darah tinggi, kencing manis dan penyakit berkaitan haba dan cuaca.
  • Jemaah yang belum berlepas ke Tanah Suci disaran mengambil suntikan, terutama untuk persediaan membina ketahanan atau imuniti badan.


Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Mekah memaklumkan, daripada jumlah itu, 52 orang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan TH di Mekah dan bakinya di hospital Arab Saudi di Jeddah dan Mekah.

"Setakat 30 Mei 2024, mereka yang terdiri daripada 62 orang yang jatuh sakit itu dimasukkan ke Pusat Rawatan TH disebabkan pelbagai penyakit terutamanya jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) dan lain-lain penyakit seperti komplikasi darah tinggi, kencing manis dan penyakit berkaitan haba dan cuaca, " katanya pada satu sidang media di ibu pejabat TH di Mekah, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua jemaah yang sedang dirawat itu berada dalam keadaan stabil.

"Di sebalik itu, jemaah sekali lagi diingatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing dan apabila berasa tidak sihat, disarankan segera ke klinik-klinik yang disediakan di Maktab untuk mendapatkan rawatan awal supaya tidak mengganggu proses untuk beribadah nanti, lebih-lebih lagi menjelang hari Wukuf dalam tempoh dua minggu sahaja lagi," tambahnya.

Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH menambah, bagi jemaah yang belum berlepas ke Tanah Suci pula disarankan supaya mengambil suntikan khususnya untuk persediaan membina ketahanan atau imuniti badan semasa masuk ke Mekah atau Madinah nanti.

"Kita di TH amat menggalakkan jemaah haji yang belum sampai supaya mengambil suntikan untuk jangkitan paru-paru, influenza dan juga yang wajib iaitu meningitis.

"Ini penting, memandangkan persekitaran di Tanah Suci adalah berbeza dengan tanah air. Kebanyakan pesakit yang dirawat, jumlah besarnya terkesan daripada kuman jangkitan paru-paru.

"Suntikan ini juga penting sebagai persediaan ketahanan badan selain membolehkan jemaah tidak mudah jatuh sakit apabila bertukar persekitaran dari tanah air ke Tanah Suci ini, " ujar Syed Saleh.

Sebelum ini Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah turut memaklumkan bahawa kebanyakan pesakit jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital adalah kerana penyakit yang diakibatkan oleh persekitaran di mana cuaca yang panas, keadaan berdebu dan sesak boleh menyebabkan jemaah jatuh sakit serta terkena batuk, selesema dan demam.

Hari Wukuf bagi musim haji 1445h/2024M ialah pada 9 Zulhijjah atau bersamaan 15 Jun (Sabtu), iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.