Ringkasan AI
- Baharin Osman dan keluarganya, 14 orang kesemuanya, berjaya menunaikan haji pada musim ini selepas 35 tahun membuat tabungan secara konsisten di Lembaga Tabung Haji.
- Baharin mula menabung sejak anak-anaknya dilahirkan dengan jumlah RM50 setiap bulan, memastikan mereka dapat menunaikan haji pada usia muda.
- Walaupun menghadapi cabaran kewangan, Baharin menekankan pentingnya kesabaran dan keazaman dalam membuat tabungan, serta bagaimana menguruskan wang selepas potongan dilakukan untuk mencapai matlamat menunaikan haji bersama keluarga.
Menurut Bahrin, 60, yang pernah bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tempoh 35 tahun diambil untuknya memupuk sifat dan secara konsiten membuat tabungan dalam Lembaga Tabung Haji (TH), dengan harapan mereka sekeluarga bukan sahaja dapat menunaikan rukun Islam kelima itu secara bersama, tetapi juga untuk anak-anaknya berbuat demikian dalam usia yang muda.
"Banyak sebenarnya halangan dan cabaran yang ditempuhi dalam tempoh masa 35 tahun itu, yang saya kira boleh menjejaskan perancangan. Sebagai contoh, masalah kewangan dalam masa untuk membesarkan anak-anak lebih-lebih lagi bagi mereka peluang meneruskan pengajian dan sebagainya.
"Namun, saya merasakan sabar dan keazaman itu yang penting. Perlu ada keazaman serta kesabaran yang tinggi untuk memenuhkan tabung dan simpanan yang dibuat," kata Bahrain yang mencontohi arwah datuknya dalam soal menabung sehingga kesemua anaknya dapat mengerjakan haji ketika usia muda.
Ditanya sejak bila menabung, bapa kepada lapan anak ini berkata: “Sejak mereka lahir saya menabung dengan jumlah RM50. Mereka dapat sahaja surat beranak, saya terus buka akaun dengan TH dan daftarkan mereka satu persatu," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Makkah.
Baharin bersama isteri, Heliza, dan lapan anak serta empat menantunya antara sebahagian 31,600 jemaah haji bagi musim 1445H/2024M.
Anak dan menantu mereka ialah Afifa, 31, bersama suaminya Abdul Hadi Abdul Hafidz, 31; Afiqah, 30, (Ahmad Ramzie Ramle, 32); Afqar, 29, (Nur Aqilah Ismail, 29) dan Afnan, 27, (Nur Adibah Marzida Ghazali, 28).
Empat lagi anak mereka ialah Afrina, 25; Afdhal, 23; Afifudin, 20; dan Afiq, 18. Semua mereka adalah antara 986 jemaah dari Sarawak.
Baharin turut ditanya bagaimana untuk kekal konsisten dalam membuat tabungan di sebalik beberapa kekangan dalam menguruskan ekonomi dan kewangan, khusususnya dalam masa yang mencabar.
"Saya pastikan sejumlah wang tabungan setiap kali gaji diterima. Ini kerana jika sudah buat potongan tiap-tiap bulan, ia bermakna kita sudah ketepikan wang dan hanya menggunakan sumber yang ada sahaja.
“Apa yang penting, kita uruskan wang selepas segala potongan dibuat.
"Memang sukar. Tetapi percayalah cakap saya, akan ada hasilnya, kita akan menikmati kemanisan hasil daripada sifat kita itu dan bagaimana kita uruskan wang selepas semua potongan dibuat," katanya.
Sementara itu, Baharin akui, untuk menunaikan ibadah haji sekeluarga termasuk menantu bukan sesuatu yang mudah.
Ini kerana katanya, hanya dia dan isteri serta lapan anak sahaja yang menerima tawaran untuk menunaikan haji, dan bukan melibatkan menantu-menantunya.
"Justeru, rayuan perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan kami sekeluarga dapat menunaikan haji serentak,” ujarnya.
Di Tanah Suci ini, sama seperti jemaah haji lain, Baharin mendoakan agar dia dan sekeluarga sentiasa diberkati Allah serta mendapat haji yang mabrur.