MEKAH: Daripada kuota 31,600 orang, seramai 21,517 jemaah haji Malaysia kini berada di Mekah dan menumpukan kepada ibadat menjelang hari wuquf pada pertengahan bulan Jun.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media di Mekah memaklumkan, jemaah yang masuk ke Madinah sebelum ini juga sudah berada di Mekah.

"Tiada lagi jemaah yang berada di Madinah kerana kesemuanya kini sudah ada di Mekah.

"Penerbangan juga tiada lagi ke Madinah, sebaliknya dari Kuala Lumpur terus ke Jeddah dan masuk ke Mekah," kata beliau.

Katanya, jumlah 21,517 jemaah itu bersamaan 68 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 kuota jemaah yang sudah berada di Tanah Suci untuk mengerjakan haji bagi musim kali ini.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga 30 Mei 2024, bilangan kapal terbang (KT) membawa jemaah yang sudah berlepas ialah sebanyak 70 dengan berbaki 30 sahaja lagi akan masuk ke Arab Saudi secara berperingkat, kesemuanya akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz di Jeddah.

"(Pecahan) 70 itu merangkumi 38 penerbangan sewa khas Malaysia Airlines (MAS), manakala bakinya 32 adalah menggunakan Saudi Airlines," kata Syed Saleh.

Dari segi bilangan penerbangan pula, 70 daripada 100 penerbangan yang membawa jemaah haji telah selamat tiba di Tanah Suci.

Kesemua 47 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah telah selesai dengan penerbangan terakhir KT51 telah tiba di Madinah pada 25 Mei 2024.

"Jemaah yang menaiki KT ini juga sudah berada di Mekah," ujar beliau.

Bagi musim haji tahun ini, 31,600 jemaah haji muassasah diterbangkan secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL oleh Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Penerbangan terakhir dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi dijadualkan pada 9 Jun ini.

Hari wuquf ialah pada 9 Zulhijjah atau bersamaan 15 Jun 2024.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, setakat ini, operasi haji untuk musim 1445H/2024M yang bermula pada 9 Mei 2024 berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah, hasil komitmen tinggi petugas haji demi menjaga kebajikan, kesihatan, keselamatan, dan urusan ibadat para jemaah haji Malaysia.