Ringkasan AI
- Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah, menjalankan ibadah wukuf serta Mabit di Muzdalifah dan Mina.
- Pihak berkuasa mengatur pergerakan jemaah dengan teliti bagi memastikan lancar dan selamat, dengan menggunakan bas khas dan pelekat keselamatan.
- Walaupun berdepan cuaca panas, jemaah haji Malaysia bersedia secara mental dan fizikal untuk melaksanakan ibadah haji dengan harapan mendapat haji yang mabrur, di samping kemudahan infrastuktur yang ditingkatkan bagi memastikan keselesaan jemaah.
Pergerakan terbesar itu bermula seawal 7 pagi Jumaat menuju ke Masyair untuk melakukan ibadah wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di ketiga-tiga jamrah bermula 9 Zulhijjah (15 Jun) sehingga 12 Zulhijjah (18 Jun).
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata, memandangkan hari Tarwiyah (sehari sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, operasi Masyair pada tahun ini menjadi sangat kritikal.
"Kerana itu perancangan pergerakan perlu diatur dengan teliti lagi tersusun bagi memastikan ia lancar, tidak bertembung dengan jemaah lain yang turut sama bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah," ujarnya.
Sebanyak 20 bas disediakan untuk semua jemaah yang memulakan pergerakan ke Arafah secara berperingkat iaitu pada awal pagi, lewat pagi dan selepas solat Jumaat.
"Buat pertama kali tahun ini, kerajaan Arab Saudi mewajibkan bas-bas yang membawa jemaah keluar dari Makkah untuk ke Arafah ini dilekatkan dengan pelekat keselamatan khas.
"Ini adalah untuk menunjukkan mereka yang sah iaitu mempunyai kad Nusuk Haji dan memiliki visa untuk menunaikan haji sahaja berada di dalam kenderaan mereka. Mereka semua terlebih dahulu diperiksa berkali-kali sebelum dibenarkan menaiki bas.
"Ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Arab Saudi benar-benar serius mengambil kira soal keselamatan demi memastikan tiada pemegang visa pelancong memasuki Arafah menunaikan haji," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar semasa majlis melepaskan jemaah dari Maktab 77 dan 78 di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), Abraj Janadriyah, Makkah.
Sementara itu, pada tahun ini, umat Islam berdepan cuaca panas semasa hari Wukuf dan ketika berada di Muzdalifah dan Mina nanti.
Bagaimanapun, jemaah haji Malaysia yang ditemui rata-rata sudah bersiap sedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk menunaikan ibadat wukuf, bermabit dan melontar.
Malah mereka yang pertama kali bergelar dhuyufurrahman juga akui walaupun berdebar untuk berwukuf, mereka tidak sabar untuk ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Mahamad Fauzi Othman, jemaah haji yang mendaftar sebagai Sahabat Maktab berkongsi bagaimana dia begitu terharu mendapat rezeki menunaikan haji pada tahun dan membantu jemaah lain untuk bersama-sama dalam Operasi Masyair sehingga 12 Zulhijjah nanti.
''Perasaan saya bercampur-baur, antara terharu dan teruja kerana ini pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan membantu jemaah lain mengerjakan haji," katanya kepada Astro AWANI.
Terdapat 315 sukarelawan yang terdiri daripada Sahabat Maktab membantu petugas haji untuk pergerakan ke Arafah.
Dalam pada itu, Nor Asiah Sudin, jemaah dari Kelantan pula mengakui berdebar untuk memasuki Arafah, tetapi dapat bertenang selepas memikirkan dia telah membuat banyak persediaan.
''Kita bersama rakan-rakan sebelum ini banyak berjalan, sebagai persediaan untuk melontar nanti. Kita juga banyak minum air sebab katanya akan panas nanti. Tetapi, apa yang harapkan ialah semuanya dipermudahkan Allah,'' katanya.
Begitu juga jemaah haji, Shabuddin Hashim berasal dari Kedah berkata, persediaan yang cukup sebelum bergerak membuatkannya teruja untuk menunaikan rukun dan wajib haji seterusnya menyelesaikan ibadat itu.
''Harapan saya haji mabrur, sama seperti yang lain-lain. Moga saya dan semua jemaah lain sihat untuk melengkapkan ibadat ini, rukun Islam kelima ini. Diharap semua jemaah haji Malaysia, dapat menangani semua cabaran termasuk diberi kesihatan yang baik, dapat menempuh cuaca yang panas, keadaan yang sesak dan sebagainya," katanya.
Berdasarkan ramalan cuaca dan amaran Kementerian Kesihatan Arab Saudi, suhu di hari Wukuf pada 9 Zulhijjah boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius, iaitu kemuncak musim panas di negara itu pada tahun ini.
Bagaimanapun, untuk keselesaan jemaah, pihak Mashariq, yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan kepada jemaah muassasah semasa Masyair, telah menambah baik beberapa infrastuktur di khemah penginapan termasuk menggandakan jumlah pendingin hawa selain pembinaan dinding khemah menggunakan papan gypsum, yang serap kelembapan.
Tahun ini juga, banyak infrastruktur dan kemudahan dinaik taraf untuk jemaah haji Malaysia terutamanya di Arafah dan Mina bagi memastikan pergerakan dan penempatan serta urusan makan minum jemaah dapat disediakan dengan lebih baik selain memastikan mereka berada dalam keadaan selesa semasa melakukan ibadat haji terutama sewaktu wukuf.
Ia antara lain menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia dan Tabung Haji yang sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan kesihatan para jemaah haji negara.