KUALA LUMPUR: Sesi Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI mencambahkan banyak idea baharu untuk mencetuskan anjakan yang bermakna demi manfaat rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Sesi Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI mencetuskan banyak idea baharu untuk manfaat rakyat, dengan perbincangan mendalam dan penilaian teliti terhadap polisi dan dasar.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menekankan pentingnya kebersamaan dan kesatuan dalam menakhodai setiap kementerian serta memperbaiki kelompongan dalam kerajaan.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan terbuka menerima pandangan dan kritikan untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat dan negara.


Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap pandangan yang dikongsi pada sesi itu, adalah cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam mencorak masa depan lebih cerah.

"Alhamdulillah, sesi Permukiman Jemaah Menteri telah berakhir pada malam tadi setelah seharian penuh dengan perbincangan mendalam, pembentangan penuh pengisian serta penilaian teliti terhadap polisi dan dasar - semuanya demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.


Beliau berkata amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi itu juga akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Mudah-mudahan kebersamaan yang terjalin hari ini menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata permukiman selama dua hari itu merupakan permulaan tahun baharu dengan semangat kebersamaan dan kesatuan yang tinggi untuk jemaah menteri menakhodai setiap kementerian.

"Kita perlu sentiasa menilai dan melihat keberkesanan penyampaian kementerian dan platform permukiman ini menjadi medan untuk kita mengenal pasti apa yang perlu dan boleh ditambah baik," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri dalam ucapan majlis penutup permukiman itu menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak bagi melakukan lebih baik untuk rakyat dan negara.

"Ini sekali gus memberi ruang untuk setiap kementerian dan agensi memperbaiki kelompongan yang ada dalam kerajaan dan sudah pasti akan membantu Kerajaan MADANI berfungsi dengan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA