Ringkasan AI
- Gula-gula kenyal berbentuk bebola mata masih banyak dijual dalam talian walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melarang penjualannya. Produk ini dijual pada harga serendah RM6.50 sebalang dan mendapat sambutan hangat.
- KKM melarang penjualan gula-gula kenyal berbentuk bebola mata kerana ia menyalahi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Larangan ini dikeluarkan selepas kematian seorang kanak-kanak akibat tercekik gula-gula tersebut.
- Walaupun terdapat larangan, masih ada peniaga yang menjual produk ini secara terbuka dalam talian. Ibu bapa dan masyarakat meluahkan kebimbangan dan meminta peniaga bertanggungjawab serta tidak menjual produk yang berbahaya kepada kanak-kanak.
Tinjauan Sinar Ahad di beberapa platform dan media sosial mendapati, ia boleh dibeli dengan mudah.
Gula-gula kenyal boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti buah-buahan, bola dan bumi pada harga serendah RM6.50 sebalang yang mengandungi 15 biji.
Berdasarkan maklumat tertera, ada bekalan daripada pembekal di China dan dilabelkan sebagai halal.
Produk itu mendapat sambutan hangat hingga ada penjual membuat jualan sebanyak 1,300 balang, manakala rating diberikan pembeli juga tinggi sehingga 4.8 dan 5 bintang.
KKM pada Jumaat menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk bebola mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik sementara siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].
Tindakan tegas KKM itu susulan kematian kanak-kanak berusia 10 tahun, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin akibat tercekik gummy berbentuk bebola mata di Pulau Pinang, Khamis lalu.
Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, tiada gummy dijual di kawasan sekolah atau kedai serbaneka namun ia masih mudah didapati dalam talian.
Rabiatul Adawiyah Anuar, 27, meluahkan rasa terkilan apabila terdapat peniaga dalam talian yang tidak peka dengan situasi semasa apabila terus mempromosi gummy secara terbuka.
“Lepas tular kes kanak-kanak maut tercekik gula-gula kenyal, saya tengok banyak kedai dah tak jual, di sekolah memang tak ada jual.
“Tapi semalam (Jumaat), saya lihat ada seorang peniaga buat live jual gula-gula ini, ramai yang tonton kecam tindakan peniaga ini, tapi dia tetap terus meniaga seperti biasa,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, sebelum ini dia tidak begitu menggalakkan anak-anaknya memakan makanan ringan itu kerana status halalnya yang meragukan.
“Saya minta peniaga sama-sama bertanggungjawab dan tak jual gummy sebab gula-gula ini berbahaya kepada kanak-kanak dan dah ada kes sampai meninggal dunia.
“Pada masa yang sama, ibu bapa pun perlu pantau anak-anak terutama yang ada anak kecil sebab mereka tak tahu apa-apa, kadang kala walaupun kita tak larang, dia tetap makan juga,” katanya.
Ibu kepada tiga anak, Dahliana Lahi, 40, pula berkata, kejadian menimpa arwah Mohammad Fahmi Hafiz menyebabkan dia bimbang kejadian sama berlaku kepada anak-anaknya yang turut gemarkan makanan ringan itu.
“Saya terus tak bagi anak-anak makan. Dalam sekolah tak ada jual tapi saya pernah nampak ada beberapa kedai jual,” katanya. -Sinar Harian
