ALEC Baldwin berkongsi mengenai kehidupannya selepas tragedi tembakan di set penggambaran yang mengorbankan nyawa seorang kru pada 2021 lalu.


Ringkasan AI
  • Alec Baldwin berkongsi tentang kehidupannya yang berubah selepas tragedi tembakan di set penggambaran pada tahun 2021 yang mengorbankan nyawa seorang kru.
  • Baldwin mengaku bergelut dengan emosi yang tidak stabil dan kesihatan mental yang terjejas selepas melalui proses mahkamah dan didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat.
  • Tragedi di set penggambaran filem "Rust" menyebabkan kematian sinematografi Halyna Hutchins akibat tembakan daripada senjata yang sepatutnya tidak berisi peluru.


Selepas melalui siri turun naik mahkamah dan berdepan pertuduhan membunuh dengan niat tetapi didapati tidak bersalah, aktor tersebut mengaku dirinya bergelut dengan emosi yang tidak stabil sehingga mengganggu kesihatan mental.

Baldwin, 66, mengaku insiden yang berlaku terlalu pantas dan sukar dipercayai.

“Ia terlalu pantas dan sukar dipercayai. Maksud saya, saya tidak percaya akan melalui fasa seperti ini.

“Jujur, saya berasa lebih ‘sakit’ daripada apa yang semua orang lain rasakan,” ujar Baldwin seperti dilaporkan People.

Pengakuan tersebut dibuat sewaktu bintang filem popular itu muncul di acara realiti, The Baldwins, bersama isterinya, Hilaria, baru-baru ini.

Pada kesempatan sama, Baldwin mengaku hidupnya berubah selepas insiden terjadi.

“Kehidupan saya sukar beberapa tahun kebelakangan ini. Ada masa saya rasa lebih bahagia sewaktu tidur daripada bangun dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.

Akibat insiden yang berlaku di set penggambaran filem Rust, sinematografi, Halyna Hutchins maut kerana terkena tembakan daripada senjata Baldwin yang sepatutnya tidak berisi peluru. -Gempak