Ringkasan AI
- Kerajaan mengerahkan tenaga dan aset terbaik untuk memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di Johor, Sabah, dan Sarawak yang terjejas akibat banjir.
- Setakat 12 tengah hari, sebanyak 12,255 orang daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri tersebut.
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keprihatinannya terhadap mangsa banjir dan menekankan pentingnya operasi menyelamat serta penyaluran bantuan asas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu sedang digiatkan daripada operasi menyelamat hingga penyaluran bantuan keperluan asas, agar mangsa yang terkesan mendapat perlindungan sewajarnya.
“Pada saat kita memasuki 10 hari terakhir Ramadan, saudara-saudara kita di Johor, Sabah dan Sarawak sedang diuji dengan bencana banjir yang di luar jangkaan.
"Hati saya tersentuh tatkala mendengar rintihan mereka yang terkesan.
“Rumah ditenggelami air, harta benda musnah, dan anak-anak kecil terpaksa berlindung di pusat pemindahan. Apa yang kita lihat sudah cukup menyayat hati, namun bagi mereka yang mengalaminya, ujian ini jauh lebih berat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Setakat 12 tengah hari, sebanyak 12,255 orang daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga negeri itu.
Beliau berkata Johor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 10,510 penduduk daripada 3,245 keluarga yang berada di 98 PPS melibatkan lima daerah.
“Di Sabah, sebanyak 1,273 penduduk daripada 405 keluarga masih berlindung di 11 PPS di enam daerah, manakala di Sarawak pula, 472 penduduk daripada 121 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah,” katanya.
