KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan melalui Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan dana bernilai RM50.61 juta bagi membantu mangsa banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata dana itu termasuk RM50 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI), RM500,000 untuk pengurusan pengoperasian bencana dan RM114,609 bagi penyelenggaraan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya menzahirkan rasa simpati terhadap para penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai.

“Saya berharap semua mangsa banjir terus diberi kekuatan dan kesabaran, apatah lagi dalam musim persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



Mengenai situasi banjir di negeri itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah menggerakkan aset pengoperasian bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat mangsa.

NADMA melaporkan sehingga 12 tengah hari tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Johor adalah seramai 10,851 orang, berbanding 753 orang semalam.