Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah dan rasa sedih kepada mangsa banjir di Beaufort melalui Setiausaha Politik Kanan, Shamsul Iskandar Md Akin.
- Kerajaan persekutuan menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada mangsa banjir melalui NADMA dan menyeru kerjasama agensi persekutuan serta negeri dalam misi pascabanjir.
- Jumlah mangsa banjir di Sabah kekal dengan 4,530 orang di 29 PPS, dan kerjasama erat diperlukan untuk mengatasi masalah banjir di Beaufort.
Beliau berkata Perdana Menteri amat prihatin terhadap penduduk terjejas akibat banjir di kawasan itu dan berusaha memberikan bantuan untuk meringankan beban mereka, justeru pihaknya menyeru semua agensi persekutuan serta negeri bersama-sama melaksanakan misi pascabanjir di Sabah.
Shamsul Iskandar berkata apa yang paling penting adalah keterlibatan kesemua agensi persekutuan dan negeri dalam menghulur bantuan, seperti membersihkan rumah mangsa yang terlibat, untuk mempercepatkan kerja-kerja pascabanjir kerana tidak lama lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri.
"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan sedih Perdana Menteri serta keprihatinan beliau kepada mangasa banjir di kawasan Beaufort.
"Kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini, yang menempatkan 412 mangsa daripada 147 keluarga.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di 29 PPS di Sabah kekal tidak berubah dengan 4,530 orang daripada 1,488 keluarga setakat tengah hari ini melibatkan empat daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata jumlah mangsa banjir tertinggi adalah di Beaufort, dengan tujuh PPS menempatkan 1,719 orang daripada 556 keluarga, manakala di Membakut, 914 orang daripada 312 keluarga berada di lima PPS.
Sementara itu Shamsul Iskandar berkata kerjasama erat kerajaan negeri dan persekutuan sudah pasti dapat mencari jalan penyelasaian mengatasi masalah banjir di kawasan Beaufort.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri serta agensi persekutuan dan negeri yang terlibat yang membantu semasa berlaku bencana banjir," katanya.
Selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, beliau bersama rombongan turut melawat beberapa mangsa banjir di Kampung Melati dan Kampung Kelabu di Beaufort, serta Kampung Brunei di Membakut.
-- BERNAMA
