KAPIT: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk segera mengambil langkah-langkah bagi membantu penduduk yang terkesan akibat bencana banjir di Bahagian Kapit.

Menyatakan rasa dukacita terhadap kejadian yang berlaku, Ahli Parlimen Kapit itu menasihatkan penduduk agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Saya sudah mengarahkan semua pihak yang bertanggungjawab untuk segera mengambil langkah-langkah bagi membantu penduduk, dalam menghadapi bencana banjir ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Nanta berkata hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lepas telah menyebabkan beberapa kawasan di Kapit dilanda banjir.

Antara kawasan yang paling terjejas ialah lima buah sekolah yang ditenggelami air, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Yong, SK Bena Sut, SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh dan SK Nanga Bena.

"Bagaimanapun, keadaan mula beransur pulih di tiga sekolah iaitu SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh, dan SK Nanga Bena, apabila paras air dilaporkan mula surut," katanya.


Selain itu, beberapa kawasan lain turut terkesan akibat bencana ini, antaranya Kampung Muhibah di Jalan Bleteh, Kampung Baru di Jalan Abang Sulaihi, Lorong 7 di Jalan Airport serta Nanga Seranau.

Berikutan keadaan banjir yang melanda, bekalan elektrik di beberapa kawasan terpaksa diputuskan buat sementara waktu, termasuk di Rumah John Ramba, Sungai Sibau; Rumah Riti, Nanga Tulie; kawasan Pulau Pisang; dan Nanga Baleh.

Pihak berkuasa telah diarahkan untuk segera bertindak bagi membantu mangsa banjir dan memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.


-- BERNAMA