Acara ini mempamerkan gabungan fesyen, seni, F&B dan gaya hidup, menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik sambil menyokong industri tempatan.

Pengurus Promosi dan Pemasaran RIUH, Falliq Effendy berkata RIUH merupakan platform kurasi kreatif untuk artis dan usahawan kreatif memasarkan dan membina perniagaan serta mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
“RIUH menghimpun dan memperkasa belia untuk menghargai industri kreatif tempatan serta meningkatkan nilai dalam pasaran tempatan dan global.
“RIUH Raya Kita, yang berlangsung dari 19 hingga 23 Mac ini ialah edisi istimewa yang menggabungkan warisan seni tradisional dan inovasi moden dalam suasana meriah.

“Acara ini bukan sahaja meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga memperkukuh semangat kekitaan serta memperkasakan ekonomi kreatif, budaya dan keusahawanan Malaysia,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.
Menurut beliau, acara lima hari yang berlangsung di Raintree Plaza, TRX itu dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
Bertemakan “Memartabatkan Warisan, Memacu Inovasi”, acara itu menghimpunkan elemen seni tradisional dan moden, dengan menampilkan lebih 80 vendor runcit, 20 vendor makanan dan minuman, serta 30 persembahan langsung, termasuk oleh artis terkenal seperti The Impatient Sisters, Nastia, Megat Fazly dan FUGO.
Malah, sebanyak enam bengkel kreatif turut dianjurkan, antaranya kaligrafi khat, anyaman ketupat dan kompang tradisional..

Selain memberi tumpuan kepada keusahawanan, RIUH turut memperkenalkan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), antaranya “Projek Baju Raya”, iaitu inisiatif pertukaran pakaian lama dengan pakaian terpakai yang didermakan orang ramai.
Program ‘OneForOne’ pula membolehkan pengunjung menyumbang RM10 bagi setiap pembelian makanan dan minuman, yang akan disalurkan kepada golongan memerlukan.
RIUH Raya Kita turut mendapat sokongan The Exchange TRX sebagai penaja lokasi, sekali gus memperlihatkan komitmen sektor swasta dalam menyokong ekosistem kreatif tempatan.
Dengan lokasi bertaraf dunia dan kemudahan moden, TRX dijangka menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung tempatan dan pelancong asing.
Menyingkap kejayaan RIUH, beliau berkata tahun lalu RIUH telah berjaya menganjurkan lapan acara Kembara RIUH di seluruh negara, yang menarik lebih 240,000 pengunjung serta menjana jualan melebihi RM3 juta.
Maklumat lanjut mengenai RIUH Raya Kita boleh didapati melalui platform media sosial rasmi @riuhinthecity dan @mycreativeventures di Facebook, Instagram dan TikTok.
