KULAI: Kerajaan negeri mengarahkan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan mengambil tindakan segera susulan nahas yang meragut nyawa dua pelajar di laluan Kulai-Felda Inas-Bandar Tenggara pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Kerajaan negeri Johor mengarahkan syarikat konsesi jalan mengambil tindakan segera selepas nahas yang meragut nyawa dua pelajar di laluan Kulai-Felda Inas-Bandar Tenggara.
  • Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menegur keadaan jalan yang berlubang teruk dan mengarahkan penyelenggaraan dilakukan dengan sempurna.
  • Dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal mereka terlanggar lubang di jalan tersebut.


Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor tidak dapat menahan kemarahan ketika meninjau lokasi kejadian selepas melihat sendiri keadaan jalan yang berlubang teruk.

“Kenapa jalan masih dalam keadaan begini? Tampal ala kadar sahaja, papan tanda keselamatan pun tiada!

“Saya mahu pihak konsesi turun hari ini juga, jangan hanya harapkan subkontraktor buat kerja asal boleh. Bila kemalangan berlaku lagi, siapa yang mahu bertanggungjawab?” katanya.

Beliau turut mengarahkan ketua jabatan syarikat konsesi turun ke lokasi bagi menilai keadaan jalan dan memastikan kerja penyelenggaraan dilakukan dengan sempurna.

“Pergi lihat sendiri dari Felda Inas ke Bukit Kulai, banyak jalan berlubang. Rakyat menyalahkan wakil rakyat, tetapi kontraktor yang tidak menjalankan kerja dengan betul,” tegasnya.

Terdahulu, rakaman video lawatan Mohd Jafni tular di media sosial yang memaparkan sebuah lubang besar yang dipenuhi air hujan dengan hanya kon diletakkan di sekelilingnya.

Pada Jumaat, media melaporkan dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang, Bandar Tenggara mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. -Sinar Harian