MOGADISHU: Lanun Somalia membebaskan sebuah kapal nelayan berbendera Yaman yang dirampas pada 16 Mac di perairan dikuasai lanun berhampiran pantai Somalia, disahkan oleh Pasukan Tentera Laut Kesatuan Eropah (EUNAVFOR) pada petang Jumaat, lapor Xinhua.

EUNAVFOR Atalanta melaporkan yang kapal Al-Hidaya, yang dirampas di perairan Durdura berhampiran Eyl di pantai utara Somalia, kemudian ditinggalkan di kawasan Dhinowda, selatan lokasi rampasan asal.

"Di atas kapal, lapan kru Somalia berada dalam keadaan selamat," menurut pasukan tentera laut EU dalam satu kenyataan selepas merapati kapal itu pada Jumaat untuk membantu kru dan mengumpulkan maklumat.

Insiden itu adalah kes ketiga berkaitan lanun yang melibatkan kapal nelayan Yaman. Selain satu kes berasingan membabitkan kapal nelayan China, sebanyak empat kejadian rampasan kapal oleh lanun berlaku di perairan Somalia pada 2025, menurut EUNAVFOR.

Pasukan tentera laut EU menegaskan yang operasi berterusan mereka, bersama rakan keselamatan maritim serantau dan antarabangsa, kekal penting dalam menangani insiden yang mengancam keselamatan maritim dan kebebasan pelayaran di rantau itu.

Lanun Somalia melancarkan serangan jauh dari pantai menggunakan 'kapal induk' iaitu dhow atau kapal nelayan laut dalam yang mereka kuasai.

Kebangkitan semula aktiviti lanun turut memberi kesan kepada sektor perkapalan, menyebabkan peningkatan kos insurans apabila syarikat perkapalan mendapatkan perlindungan tambahan bagi risiko peperangan, penculikan dan tebusan, selain insurans standard kargo dan insurans badan kapal.

-- BERNAMA