KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan pemeteraian perjanjian perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). 

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, perolehan kapal bernilai AS$68.8 juta ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara.
Perolehan itu antara lain mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal. 

Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal intu berlangsung di Desan Shipyard, Ankara, Turkiye semalam, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan. 


“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia. Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya. 

Selain majlis menandatangani SST, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard bagi melihat keupayaan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal. 

Dengan perolehan MPMS ini, Maritim Malaysia yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara. 

“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang. Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya. 

Apabila siap dibina, kapal itu akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. 

Sebelum ini, majlis pemeteraian perjanjian ini yang merupakan sebahagian daripada sesi pertukaran dokumen rasmi disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.