KUALA LUMPUR: Pecahan perbelanjaan penyelenggaraan bagi Jalan Persekutuan 22 di Sandakan adalah termasuk kerja kerja pavemen, pemotongan rumput, penyelenggaraan bahu jalan, perabot jalan, jambatan dan culvert dan longkang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja-kerja rutin sentiasa berjalan mengikut skop kontrak yang telah ditetapkan yang mana bagi tahun 2023 hingga 2025, kerja rutin adalah berjumlah RM 7.71 juta.

"Kerja-kerja rutin sentiasa berjalan dari semasa ke semasa mengikut skop kontrak yang telah ditetapkan. Bagi tahun 2023 hingga 2025, kerja rutin adalah berjumlah RM 7.71 juta.

"KKR turut memberikan perhatian kepada kerja-kerja penyenggaraan Berkala Pavemen, Berkala Bukan Pavemen, penyenggaraan cerun dan kerja elektrik di daerah Sandakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee mengenai jadual penyelenggaraan untuk lampu jalan di sepanjang Jalan Persekutuan 22 dan jumlah peruntukan setiap tahun.

Tambah beliau, dari tahun 2023 hingga 2025 kerja-kerja yang dilaksanakan antaranya berkala pavemen melibatkan kos RM 53.149 Juta ( 25 Kerja, 39.2 KM), Berkala Bukan Pavemen, RM 6.6 Juta (12 Kerja), kerja elektrik, RM 1.109 Juta (6 Kerja) dan Cerun, RM 8.78 juta (3 Kerja).