Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata perkara itu bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, yang boleh membahayakan nyawa orang awam.
"Kerja-kerja pembaikan juga perlu dilaksanakan segera disebabkan laluan ini merupakan antara laluan utama pengguna jalan raya di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nanta berkata laluan lencongan sementara telah disediakan untuk kegunaan kenderaan kecil dan ringan.
"Dan saya juga telah meminta papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan diletakkan dengan jelas, demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Kejadian tanah runtuh yang memutuskan jalan perhubungan antara Bahagian Sibu dan Bahagian Kapit itu, berlaku selepas hujan turun tidak berhenti di kawasan tersebut sejak beberapa hari yang lepas.
Sementara itu tular di media sosial kejadian sebuah lori barang tersangkut di lencongan tersebut sehingga menghalang laluan kenderaan lain.
Perkara itu mengundang kemarahan netizen terutama penduduk Kapit dan Song kerana sebelum ini kenderaan berat telah dilarang menggunakan lencongan tersebut, berikutan keadaan tanah yang masih belum stabil.
Tindakan tersebut menurut mereka bukan sahaja membahayakan nyawa bahkan menyusahkan pengguna jalan raya yang berulang alik ke Sibu.
-- BERNAMA