MIRI: Kerajaan Sarawak bersedia menggunakan teknologi inovatif dan praktikal untuk membina jalan raya yang lebih tahan lama di seluruh negeri itu dalam menangani cabaran berlarutan berhubung bentuk muka bumi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata antara penyelesaian yang sedang dipertimbangkan ialah membina jalan raya bertingkat, kaedah yang sangat sesuai untuk muka bumi ini.

“Kami sedang meneroka teknologi canggih untuk memastikan jalan raya yang kami bina tahan lama terutama di kawasan yang mempunyai keadaan mencabar seperti tanah tinggi dan tanah gambut,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Marudi, Telang Usan dan Mulu di sini semalam.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan menganjurkan seminar pengurusan bangunan industri tidak lama lagi untuk menilai dan memilih teknologi paling sesuai.

“Membina jalan raya bukanlah cabaran utama, ujian yang sebenar adalah memastikan jalan itu berkekalan bagi manfaat jangka panjang untuk rakyat ,” katanya.

Uggah berkata dorongan untuk pembinaan jalan raya yang inovatif disebabkan cabaran geografi Sarawak yang unik dengan kawasan pergunungan seperti di wilayah Baram dan tanah gambut yang tidak stabil menjadikan kaedah pembinaan konvensional kurang berkesan.

Selain itu, beliau berkata tanah runtuh yang menjadi isu berulang terutamanya di kawasan pedalaman, meningkatkan lagi keperluan untuk infrastruktur berdaya tahan.

“Tahun ini sahaja kita memperuntukkan RM150 juta bagi pembaikan jalan termasuk di kawasan luar bandar yang terjejas akibat tanah runtuh. Kekerapan kejadian ini terutamanya di Baram menunjukkan kesegeraan untuk mengguna pakai teknologi pembinaan termaju,” katanya.

Beliau berkata Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang dipengerusikannya menyelia 43 projek berbeza termasuk 25 projek jalan, 17 bekalan air dan satu bekalan kuasa.

Uggah menambah 16 daripadanya telah siap, lapan dalam pembinaan dan 19 dalam peringkat penyediaan kontrak.

-- BERNAMA