Menurut kemas kini hantaran di Instagramnya, pemain yang memiliki kerakyatan Syria itu memuat naik keberadaannya di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, tiga hari lalu.
Namun, status terkini berkenaan pemain berusia 28 tahun itu masih menjadi persoalan samaada dia bakal memperkuat skuad kendalian Hector Bidoglio semula ataupun menunggu destinasi seterusnya.
Terdahulu, Jalil Elias menyertai kelab Argentina, Atletico Velez Sarsfield, sebagai pemain pinjaman sehingga Disember 2024 sebelum difahamkan bakal bergabung semula dengan bekas majikannya, San Lorenzo, dengan pilihan untuk membeli secara tetap.
Tetapi, segalanya menjadi tanda tanya tentang apakah yang terjadi.
Menurut sumber berita, San Lorenzo gagal menerima kepulangan semula Jalil Elias ekoran isu pendaftaran pemain kerana perpindahan pemain tengahnya, Elian Irala ke SC Internacional sukar direalisasikan.
Meskipun sudah menjalani ujian kecergasan, namun tiada sebarang jawapan buat bintang kelahiran Argentina itu setakat ini.
Untuk rekod, dia hanya bermain selama 69 minit sahaja bersama JDT ketika perlawanan pertama Liga Super Malaysia bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), tahun lalu. - Stadium Astro
