Ringkasan AI
- CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd menggantung semua aktiviti promosi baharu yang melibatkan duta jenama mereka, Kim Soo Hyun, susulan kontroversi yang melanda.
- CUCKOO Malaysia mengikuti perkembangan isu tersebut dengan teliti dan menegaskan komitmen mereka terhadap integriti dan kepercayaan jenama.
- Kim Soo Hyun didakwa menjalin hubungan dengan mendiang Kim Sae Ron ketika dia masih di bawah umur, namun agensi aktor tersebut menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran maklumat palsu.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak CUCKOO Malaysia menjelaskan mereka sedang mengikuti rapat perkembangan isu tersebut dengan teliti dan memahami padangan orang ramai berkenaan isu tersebut.
"Memandangkan isu yang melibatkan Kim Soo Hyun masih berlanjutan tanpa penyelesaian segera, kami percaya bahawa langkah terbaik untuk kepentingan pemegang taruh serta keutamaan perniagaan semasa adalah untuk bertindak dengan jelas.
"Setelah melalui pertimbangan yang teliti, kami telah membuat keputusan untuk menggantung semua aktiviti promosi baharu melibatkan artis tersebut," maklumnya.
Bagaimanapun, CUCKOO Malaysia menegaskan bahawa mereka kekal komited dalam memelihara nilai integriti dan kepercayaan yang menjadi teras jenama mereka, selain terus berusaha untuk menyediakan penyelesaian bagi mewujudkan kediaman yang lebih sihat untuk semua.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa gembira dengan keputusan yang diambil oleh syarikat itu.
“Good job Cuckoo Malaysia ...ini yang kita nak.
“Great move! Thank you.
“Good job Cuckoo Malaysia!
“Tak apa korang, Duta Cuckoo Malaysia masih ada,” kata netizen.
Terdahulu, saluran YouTube Hoverlab mendakwa bahawa Soo Hyun menjalin hubungan dengan mendiang Kim Sae Ron ketika dia masih di bawah umur.
Hoverlab mendakwa pasangan itu bersama selama enam tahun, bermula ketika Sae Ron berusia 15 tahun dan Soo Hyun berusia 27 tahun.
Sehari selepas dakwaan tersebut, saluran itu turut mendedahkan gambar Soo Hyun mencium pipi Sae Ron, mencetuskan lebih banyak spekulasi dalam kalangan peminat.
Namun, agensi mewakili aktor itu, Gold Medalist menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran maklumat palsu.
Untuk info, Kim Sae Ron yang merupakan bintang filem The Man from Nowhere dan The Neighbors, ditemui meninggal dunia di rumahnya bulan lalu pada usia 24 tahun. -- Gempak
