MELAKA: Seorang wanita mencetuskan kekecohan di sebuah pasar raya di Dataran Pahlawan, di sini apabila didakwa mengekori seorang ibu bersama anak-anaknya serta bertindak agresif, termasuk menendang mangsa.


Ringkasan AI
  • Wanita yang mencetuskan kekecohan di pasar raya Dataran Pahlawan didapati merupakan pesakit mental.
  • Suspek mengekori dan menendang seorang ibu bersama anak-anaknya sebelum ditahan oleh polis.
  • Polis menasihatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini.


Dalam kejadian jam 7.15 malam pada Jumaat, suspek sebelum itu dikatakan bercakap sendirian dan menjerit-jerit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang merupakan suri rumah membuat laporan berhubung kejadian jam 9.23 malam hari sama.

"Mangsa memberitahu suspek didapati bercakap sendirian dan menjerit-jerit dan cuba mengekorinya sehingga ke eskalator pasar raya.

"Suspek kemudiannya bertindak menendang mangsa sebelum dia terjatuh, menyebabkan orang ramai mula mengerumuninya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat tiba di lokasi dan membawa suspek ke balai polis sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, suspek didapati merupakan pesakit mental dan sudah beberapa kali mendapat rawatan di Bahagian Psikiatri Hospital Melaka.

"Dia kini masih ditahan di Bahagian Psikiatri untuk pemantauan lanjut.

"Video tular bukan kes cubaan culik kanak-kanak sebaliknya wanita itu adalah pesakit mental," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh mendatangkan kegusaran. -Sinar Harian