SUNGAI PETANI: Orang ramai digesa bersikap telus dan jujur semasa membuat laporan berhubung kes kehilangan individu dengan memberikan maklumat terperinci.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pengadu perlu bersikap amanah dan bertanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan bagi memudahkan polis mengendalikan kes-kes orang hilang yang dilaporkan.

"Dalam kita kendalikan kes orang hilang...sebelum ini kena tunggu tempoh 24 jam, sekarang tidak lagi, namun sebelum terima laporan, kita mahu orang yang datang buat laporan bersikap jujur...kadang-kadang hilang sebab bergaduh, tak puas hati...kita bukan 'ruang' mencari jodoh.

"Kalau orang hilang berlaku kerana ikut teman lelaki...kena telus...berterus-terang...beritahu kalau berlaku perselisihan faham...tapi ada yang ceritakan seolah-olah kena culik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Town Hall Discussion Kontinjen Kedah 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes orang hilang yang sering dilaporkan akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut, Fisol berkata polis memandang serius terhadap semua laporan berhubung kehilangan individu dan tidak mahu kes kehilangan itu berakhir dengan kematian.

"Kebarangkalian untuk orang hilang tidak ditemui juga tinggi...kita nak orang ramai bersikap adil dengan polis dan polis akan berusaha sehabis baik membuat pencarian.

"Katakan dua kes yang diadukan tak betul, datang kes ketiga, betul...polis juga kena...sebab itu kita kena jujur..jangan sambil lewa...kena ambil perkara ini sebagai amanah dan tanggungjawab...polis ada amanah dan tanggungjawab, begitu juga masyarakat," katanya.

Walaupun di Kedah ada peningkatan terhadap laporan membabitkan kes orang hilang, namun ia disifatkan tidak ketara, tambah beliau.

"Kita sentiasa dalam keadaan bersiap siaga, kalau ada kes, kita akan maklumkan semua agensi berkenaan termasuklah yang di sempadan," katanya.

-- BERNAMA