Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek wanita itu kini ditahan reman di Sabah untuk siasatan kes penipuan lain disyaki membabitkan suspek itu di negeri berkenaan.
"Selesai siasatan di Sabah, suspek akan diambil semula untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes penipuan di Selangor," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Khamis lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh kes penipuan di lima negeri melibatkan kerugian keseluruhan RM161,355.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.
Mangsa dilaporkan bertemu seorang wanita berumur 28 tahun pada Disember tahun lepas bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan ditawarkan bantuan untuk menukar seksyen kesalahan di mahkamah.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)