ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 16 November 2024.


1. Dakwaan iktiraf Israel: Jangan tunggang agama, tabur fitnah, perbodoh rakyat - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang memfitnah beliau berhubung isu Israel, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat. 



2. Jenazah Tan Sri Ibrahim Saad selamat disemadikan

Jenazah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Ibrahim Saad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini sekitar jam 11.20 pagi.


3. Tragedi ‘water rafting’: 'Bot terbalik' - Polis jelaskan bagaimana kejadian berlaku

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat mengesahkan kejadian bot terbalik di Sungai Jahang berlaku akibat kepala air selepas hujan.


4. Kes FashionValet: SPRM beku akaun 30 Maple

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan akaun 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) berhubung kes melibatkan platform e-dagang, FashionValet.


5. Malaysia tidak iktiraf penjenayah rentas sempadan miliki dua kerakyatan - Saifuddin

Malaysia tidak mengiktiraf individu yang mempunyai dua kewarganegaraan, susulan laporan polis Thailand bahawa banyak penjenayah rentas sempadan memiliki dua kad pengenalan.


6. Komposer legenda S. Atan meninggal dunia

Komposer tersohor, Datuk S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, meninggal dunia pada usia 75 tahun. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.


7. Latihan percubaan PLKN 3.0 bermula Jan 2025 - Adly

Kementerian Pertahanan akan melaksanakan Latihan Percubaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 membabitkan 200 pelatih lelaki secara sukarela yang berlangsung selama 14 hari bermula 12 Jan depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.


8. Kegiatan punggah keluar hasil galian, Pahang beri kerjasama kepada SPRM

Kerajaan Pahang akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah yang ditetapkan negeri ini.


9. Perbandingan sosial, kehendak berlebihan punca elemen rasuah wujud - KSN

Tabiat membandingkan diri dengan orang lain yang kelihatan lebih berjaya atau memiliki lebih banyak harta, dan mengutamakan kehendak tidak seimbang dengan kemampuan kewangan, adalah antara elemen mendorong penjawat awam menjurus melakukan perbuatan tidak bermoral, seperti rasuah.


10. MDDM terima lebih 200 aduan individu guna gelaran, darjah palsu

Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) menerima lebih 200 laporan dan aduan berkaitan penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran palsu dan yang tidak diiktiraf sejak dua tahun lepas.