Sempena pelancarannya pada Sabtu, program Charity BOX Yayasan PEKEMA dijalankan di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra di Ampang, Selangor atau juga dikenali sebagai ‘Mesra Home’.
Menurut PEKEMA dalam satu kenyataan, pada program berkenaan, sumbangan berjumlah RM40,900 disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra.
"Daripada jumlah itu, peruntukan terbesar disalurkan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menambah baik premis rumah jagaan ini.
"Pada masa sama, sebahagian sumbangan diberikan kepada 19 warga emas dan lima penjaga. Sebagai simbolik pelancaran sumbangan, setiap warga emas menerima cenderahati dalam bentuk "gift box" oleh pihak Yayasan PEKEMA," kata persatuan itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, program Charity BOX merupakan satu inisiatif untuk menjenamakan semula dan memberikan nafas baharu kepada aktiviti-aktiviti kebajikan PEKEMA.
Sementara itu, Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin dalam kenyataan sama berkata, Yayasan PEKEMA berharap program tersebut dapat memberi sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.
Beliau menambah warga emas adalah permata yang berharga, dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.
"Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan golongan warga emas, tetapi juga menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutama mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.
“Hari ini, kita melihat satu usaha murni yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk anak syarikat kami, Central Auto Distributors Bhd (CADB), yang telah berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk perjalanan program Charity BOX Yayasan PEKEMA yang akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
"Ini contoh bagaimana kerjasama antara sektor korporat dan yayasan dapat mencipta impak yang lebih besar dalam usaha murni kita," ujar Mohamed Nazari.
Dalam masa sama, Pengarah Operasi CADB, Datuk Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin berkata, beliau berbesar hati dan berasa sangat teruja kerana diberi kesempatan untuk menjadi pembekal kenderaan rasmi Dongfeng BOX bagi program Charity BOX yang dianjurkan oleh yayasan tersebut.
“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan program, tetapi juga dapat memperkukuh lagi hubungan antara CADB dan Yayasan PEKEMA dalam mencapai matlamat kebajikan bersama,” katanya.