Pengasas bersama Kembara Kitchen, William Cheah, mendakwa tindakan itu lebih menjurus kepada agenda promosi berbanding niat tulus membantu mangsa bencana.
Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau mendakwa dana tersebut hanya diberikan jika liputan media lengkap, termasuk gambar majlis penyerahan cek, dapat dipastikan.
“Saya faham jika sedikit publisiti diperlukan, jika dapat diatur. Sebagai contoh, menyebut nama penaja di media, jika peluang itu timbul.
“Namun, apabila ia dijadikan syarat wajib untuk jumlah tersebut, ia seolah-olah ada pihak yang cuba membeli kami.
“Semata-mata untuk publisiti. Semata-mata untuk liputan media. Bukan demi tujuan kebajikan. Bukan demi kemanusiaan. Pada saat seperti ini,” katanya di Facebook pada Sabtu.
Walaupun dana itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan mendesak seperti lampin bayi, susu, dan tuala wanita, Cheah berkata beliau tetap memilih untuk menolaknya.
Katanya, keputusan tersebut dibuat demi menjaga amanah dan integriti organisasi.