KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar yang ditutup akibat bencana banjir sejak 10 hari lalu, kembali beroperasi hari ini.

Pengurusnya, Ikram Alif, berkata sejumlah 14 penerbangan keluar dan masuk dijadual melalui LTSAH membabitkan laluan domestik dari Kuala Lumpur, Subang dan Johor Bahru.

"Operasi penerbangan LTSAH dibuka semula hari ini selepas ditutup sejak 29 November lalu, berikutan kejadian banjir yang melanda.

"LTSAH dijadual menerima 14 penerbangan membabitkan tujuh ketibaan dan tujuh pelepasan perjalanan termasuk pesawat Batik Air yang memulakan operasinya hari ini.

"Bagi memastikan operasi berjalan lancar, seramai 80 kakitangan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) turut bertugas di lapangan terbang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai landasan, beliau berkata kakitangan MAHB akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan mengikut syarat ditetapkan.

Dalam kejadian banjir yang melanda negeri ini pada 29 November lalu, kawasan sekitar Kepala Batas termasuk landasan utama LTSAH dinaiki air menyebabkan lapangan terbang terbabit ditutup sepenuhnya.