Dia yang sepatutnya menaiki pentas Dewan Tuanku Canselor untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dengan Pendidikan sempena Istiadat Konvokesyen ke-26 pada 2 Disember tidak dapat hadir pada hari istimewa berkenaan apabila rumahnya di Kampung Permatang Machang dinaiki air pada 30 November lalu.
"Dalam keadaan ini cukuplah saya dapat bergambar dengan keluarga di PPS hanya untuk merasai suasana konvokesyen meski tidak dapat bersama rakan-rakan di dewan besar itu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini tular video Durratul Alia memakai jubah sambil menonton siaran langsung majlis konvokesyen melalui komputer ribanya.
Menceritakan musibah yang berlaku itu, Durratul Alia yang tinggal di Kampung Permatang Machang, Bachok berkata, mereka sekeluarga merancang untuk bertolak ke Perak pada 31 November.
Ujarnya, hujan lebat pada 29 November mengakibatkan halaman rumah digenangi air setinggi 0.3 meter sehari selepas itu dan mereka sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke PPS kira-kira jam 6.30 petang.
"Ketika berpindah jubah dibawa bersama dan saya masih lagi berharap dapat menghadiri majlis konvokesyen kerana sudah membuat persiapan dua hari sebelum banjir," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada beberapa rakan ahli keluarga yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik dan ada yang terkandas kerana banyak laluan dinaiki air.
Tambah bakal guru itu, ibu bapanya, Suriana Sulaiman, 57, dan Mohd Kamil Awang, 59, menyatakan mereka tidak dapat pergi ke majlis konvokesyen itu kerana keadaan banjir semakin serius.
"Hujan lebat pada Khamis (31 November) menyebabkan saya berfikir bahawa sudah tiada harapan lagi untuk bertolak ke Perak.
Saya reda dengan ketentuan Allah dan mungkin ada hikmahnya.
"Ada rakan-rakan menghubungi dan memberi kata-kata semangat supaya tabah menghadapi musibah dan berdoa urusan saya dan keluarga saya dipermudahkan," katanya lagi.
Durratul Alia berkata, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat selama berada di PPS dan berharap Allah SWT memberikan yang lebih baik selepas ini.
Dia juga mengakui menyimpan impian untuk bergambar kenangan bersama rakan-rakan lain selepas selesai acara di dewan namun semua itu tidak tercapai.
"Kami sempat bergambar prakonvo tetapi tidak banyak kerana sudah lewat petang dan masing-masing terpaksa pulang," katanya. - Sinar Harian