PASIR PUTEH: Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) mengedarkan bantuan bernilai lebih RM200,000 kepada mangsa banjir di negeri yang terkesan akibat musibah itu.

Ketua Misi Banjir dan Bencana MyFundAction Mohd Shukri Saad berkata bantuan yang diberikan termasuk pek makanan sedia dimakan, kit kesihatan, kit kebersihan diri dan sanitasi, pakaian serta barangan keperluan asas.

"Selain itu, kita turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam menjalankan aktiviti pascabanjir seperti membersihkan kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) dan rumah mangsa banjir," katanya kepada Bernama di Sekolah Kebangsaan Changgai di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Shukri bersama lebih 40 sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Machang bergotong-royong membersihkan kawasan yang dinaiki air di Kampung Daran Buaya, serta mengedarkan bantuan kotak makanan asas kepada 100 penduduk terjejas di Pasir Puteh baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sokongan individu, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin bekerjasama menghulurkan bantuan atau turun padang menyantuni mangsa banjir.

Sementara itu, Mohd Faiz Salehudin, 32, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada MyFundAction serta sukarelawan UiTM kampus Machang kerana sudi membersihkan rumahnya yang terkesan akibat banjir gelombang pertama.

"Rumah saya rosak teruk dan banyak barang tidak dapat diselamatkan ketika kejadian pada 27 Nov lepas sebab air naik cepat hingga sedalam 0.8 meter," katanya sambil menambah banjir yang berlaku baru-baru ini lebih buruk berbanding 10 tahun lepas.

-- BERNAMA