Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kehadiran calon di tiga negeri itu berada di atas paras peratusan kehadiran keseluruhan iaitu 97.49%.
"Angka bersuara lebih lantang kerana angka-angka ini adalah hasil kerja keras daripada semua yang meredah air untuk memastikan anak-anak kita sampai ke dewan peperiksaan dengan selamat.
"Saya faham dengan sentimen yang menderas di sebalik kritikan yang menghujani diri saya dan KPM.
"Namun saya tetap mempertahankan pendekatan yang kita ambil ketika kita berdepan dengan banjir iaitu kita cuba sedaya upaya mengurangkan impak banjir terhadap 1.3 peratus calon di kawasan terjejas tanpa kita mencetuskan masalah baharu kepada 98.7 peratus calon SPM yang lain di seluruh Malaysia," katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis.
Dalam pada itu, Fadhlina turut memuji kesungguhan pelajar di negeri terjejas dan mereka mempunyai jiwa lebih kental berbanding apa yang orang ramai bayangkan.
"Saya ingin kongsikan bahawa anak-anak kita jauh lebih kental daripada apa yang kita lihat dan kita saksikan. Dan pengajaran ini apa yang boleh saya kongsikan, jangan sesekali meragui kemampuan anak-anak kita.
"Apabila berlaku sesuatu yang belum ditemui atau (diketahui kesan) jangka panjangnya, kita lakukan segala yang mampu bersama dan Insya-Allah anak-anak kita akan lihat bagaimana keputusan itu kita ambil pastinya untuk kepentingan mereka," katanya.