Beliau berkata kesemuanya belum boleh mendiami kediaman masing-masing dan kini berlindung di beberapa kem Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Sewaktu banjir berlaku, mereka (pegawai dan anggota polis) tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana terlibat dengan penugasan bencana ini.
“Air naik begitu cepat, kebanyakan pegawai dan anggota tidak sempat menyelamatkan barang-barang mereka dan kawasan perumahan terjejas teruk serta tiada apa yang tinggal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan perumahan Taman Sri Bayu yang menempatkan 112 pegawai dan anggota polis di sini hari ini.
Ayob Khan berkata bagaimanapun pihaknya akan menghulurkan bantuan kecemasan bencana kepada pegawai dan anggota polis terlibat.
Terdahulu, Ayob Khan turut melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 14 pegawai dan anggota polis terjejas banjir di Balai Polis Ketereh, Kota Bharu dan kuarters ditenggelami air.
Sementara itu, Sarjan Zani Irwan Zainuddin, 46, yang bertugas di Balai Polis Ketereh berkata dia tidak menyangka kuarters didiaminya dimasuki air banjir.
“Hujan sangat lebat, tiba-tiba rumah dimasuki air secara berperingkat hingga paras lutut.
“Saya bersama-sama anggota keluarga segera mengangkat barang-barang rumah ke tempat lebih tinggi," katanya yang baru mendiami kuarters itu selama lima bulan.
Pegawai Awam Balai Polis Ketereh Siti Salimah Mahamud, 40, berkata dia bersama enam ahli keluarga terpaksa berpindah ke tempat tinggi di balai polis itu setelah laluan ke rumahnya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, terputus hubungan.
"Kami tinggal di balai polis ini selama empat hari bersama-sama anggota lain, selain itu kenderaan tidak boleh ke kawasan balai,” katanya.
Pada 5 Dis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan merekodkan kerugian awal sebanyak RM1.55 juta akibat bencana itu melibatkan kerosakan balai polis, pondok, kenderaan dan peralatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dilapor berkata kerugian itu merangkumi 10 balai, empat pondok, dan satu pos PGA yang terjejas sehingga tidak dapat beroperasi.
-- BERNAMA