Ringkasan AI
- Cuepacs meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tidak menyambung perkhidmatan 30,000 kakitangan kontrak yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keputusan itu dianggap tidak adil dan membebankan.
- Cuepacs mencadangkan kerajaan mengiktiraf pengalaman kerja enam tahun dalam perkhidmatan kontrak untuk penyambungan perkhidmatan mereka ke gred 1 SSPA, serta meneruskan lantikan kontrak di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi mereka yang tidak cukup pengalaman atau tidak memiliki SPM.
- Cuepacs menggesa kerajaan mengambil pendekatan yang lebih ihsan dan adil terhadap nasib kakitangan kontrak yang lama berkhidmat dalam sektor awam dan menyumbang dengan penuh dedikasi, agar mereka tidak diperlakukan seperti pekerja sementara yang boleh diberhentikan tanpa jaminan pekerjaan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, keputusan kerajaan untuk tidak menyambung perkhidmatan golongan tersebut dan tidak mengambil kira pengalaman selama enam tahun dalam perkhidmatan kontrak adalah langkah yang tidak adil.
Beliau tuurt menyifatkan tindakan tersebut adalah langkah membebankan mereka yang sekian lama berkhidmat dalam sektor awam.
Adnan berkata, pihaknya turut menggesa perbincangan segera diadakan antara kerajaan bagi mencari penyelesaian adil dan tidak menindas kebajikan kakitangan dalam sektor awam.
"Pertama, Cuepacs mencadangkan kerajaan memberi pengiktirafan pengalaman kerja. Kerajaan hendaklah mengambil kira pengalaman enam tahun dalam perkhidmatan kontrak untuk penyambungan perkhidmatan mereka ke gred 1 SSPA (Skim Saraan Perkhidmatan Awam) sebagaimana yang diberikan kepada jawatan tetap.
"Kedua, pengekalan jawatan kontrak SSM (Sistem Saraan Malaysia). Bagi mereka yang tidak cukup enam tahun pengalaman dan tidak memiliki SPM, lantikan kontrak mereka perlu diteruskan di bawah sistem SSM bagi memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan secara mendadak.
"Kami menggesa kerajaan mengambil pendekatan lebih ihsan dan adil terhadap nasib kakitangan kontrak yang lama berkhidmat dalam sektor awam. Mereka menyumbang kepada perkhidmatan awam dengan penuh dedikasi serta tidak seharusnya diperlakukan seperti pekerja sementara yang boleh diberhentikan begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Adnan turut menyenaraikan enam isu dihadapi penjawat awam yang kontrak perkhidmatannya tidak disambung.
Jelasnya, isu pertama membabitkan penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak gred 11 hingga 18 kerana tidak memenuhi syarat kelayakan SPM walaupun telah lama berkhidmat dan menyumbang kepada sektor awam.
Seterusnya, isu kedua pula berkenaan pengalaman tidak diambil kira apabila golongan tersebut yang berkhidmat selama enam tahun tidak layak dipertimbangkan ke gred satu SSPA sedangkan bagi jawatan tetap pengalaman ini diambil kira.
Tambahnya, isu ketiga pula membabitkan kakitangan kontrak hilang pekerjaan, di mana yang sudah berkhidmat selama bertahun-tahun tetapi kini telah diberhentikan tanpa sebarang jaminan pekerjaan.
"Isu keempat terkait perubahan kontrak perkhidmatan. Sebahagian kakitangan telah ditukar daripada status Contract For Service ke Contract Of Service, yang menimbulkan kekeliruan dalam aspek faedah dan perlindungan kerja.
"Isu kelima membabitkan beban emosi dan kesedihan. Hal ini kerana ramai kakitangan kontrak yang kehilangan kerja dalam keadaan mereka telah lama berkhidmat serta bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan ini.
"Terakhir, isu keenam adalah lanjut tanpa jaminan kerja. Kami dapati ada yang telah berkhidmat sebagai kakitangan kontrak selama lebih 15 tahun dan kini kehilangan kerja secara serta-merta, menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan baharu," ujarnya. -- Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)