Ringkasan AI
- Seorang peniaga, Nursyafiqah Hermanshah, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan menipu Afreena Suhaimi, isteri kepada pelakon dan pelawak Along Cham, membabitkan wang berjumlah RM105,380.
- Tertuduh didakwa menipu mangsa melalui 26 transaksi ke lima akaun berbeza dari 22 Disember tahun lepas hingga 14 Januari. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac sebagai tarikh sebutan kes. Tertuduh mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes penipuan di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan, dan Kedah.
Nursyafiqah Hermanshah, 27, didakwa menipu Afreena Suhaimi, 33, sehingga mendorong mangsa membayar wang berjumlah RM105,380 kepada tertuduh melalui 26 transaksi ke lima akaun berbeza.
Afreena ialah isteri kepada Muhammad Nizamudin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Along Cham.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15 di sini pada 6.06 petang 22 Dis tahun lepas hingga 1.24 petang pada 14 Jan.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan mempunyai tiga anak masing-masing berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu sebanyak RM95,180.
Susulan itu, polis menahan tertuduh dan suaminya pada 29 Jan lepas dan hasil siasatan mendapati Nursyafiqah mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes penipuan di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)