KUALA LUMPUR : Projek kewartawanan Astro AWANI, 'The Collision Room' berjaya mendapat sokongan syarikat gergasi teknologi Google melalui Projek Sigma: Gen Z for Malaysia.

Menurut Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail, projek ulung Astro AWANI melibatkan generasi Gen Z dalam penghasilan berita itu berperanan mencorakkan peranan generasi baharu dalam dunia kewartawanan.

Katanya, projek ini juga akan dibiayai sepenuhnya melalui inisiatif Google News Initiative. 

Ujarnya lagi, antara intipati program termasuk kolaborasi antara bakat generasi Z yang bekhidmat di Astro AWANI dan kumpulan Gen Z dari beberapa universiti tempatan.

Program juga menyaksikan pertembungan idea di antara mereka dan pengamal media yang berpengalaman dalam industri.

Jelas Ashwad, pertembungan itu disifatkan sebagai jambatan untuk menghubungkan buah fikiran kedua -dua generasi yang mempunyai kaca mata berbeza dalam pelbagai aspek.

Beberapa siri sesi yang diadakan termasuk pasca aktiviti akan turut disertai editor kanan Astro AWANI yang memberi perspektif mendalam mengenai bidang kewartawanan.

Katanya lagi, inisiatif itu antara lain menekankan aspek bimbingan dan latihan pembangunan kemahiran sebagai teras utama.

Peranan dan idea generasi Z dalam program berkenaan, ujar beliau, diyakini mampu memacu perubahan dalam dunia kewartawanan hari ini dan masa hadapan.