Wartawan Astro AWANI Umavathi Ramayah dipilih sebagai pemenang Anugerah Juri bagi kategori Wartawan Terbaik manakala Mahendran Veluplay dari Astro Seithigal memenangi kategori Pembaca Berita Paling Popular.
Pemilihan mereka adalah berdasarkan pembabitan aktif dalam menghasilkan laporan bersifat kemasyarakatan yang mendorong kepada perbahasan awam dan perubahan positif kepada dunia kewartawanan.
Bagi Anugerah Juri, sebanyak 19 kategori dipertandingkan meliputi pelbagai bidang termasuk media, akademik dan kesenian.
Barisan juri terdiri daripada Pengerusi Nambikkai Group Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawuthar; bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan, bekas Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia P Rajendran dan bekas Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) Dr S Kumaran.
Sementara itu, Pengurus Besar Nambikkai Online Dhayalan Sharmugam berkata, anugerah itu bukan sekadar meraikan pencapaian seseorang dalam kategori tertentu, sebaliknya membawa mesej inspirasi kepada orang ramai.
"Kami di Nambikkai menjadikan majlis anugerah ini sebagai platform untuk mengiktiraf bakat dan sumbangan seseorang individu dalam membentuk landskap seni, budaya dan digital di Malaysia," katanya di sini semalam.
Majlis anugerah yang diadakan buat kali ketiga itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara Sarawathy Kandasami, Naib Presiden MIC Datuk R Nelson, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan pelakon popular dari India, Khushboo Sundar.
Nambikkai, berasal daripada bahasa Tamil yang bermaksud 'keyakinan atau harapan' itu merupakan portal berita berbahasa Tamil nombor satu di Malaysia, yang sudah bertapak sejak 1997.
Bermula secara konvensional sebagai majalah, Nambikkai melalui transformasi dengan berkembang menjadi platform media digital yang dikenali sebagai Nambikkai Online.