TIADA istilah malu, sebaliknya bintang terkemuka Indonesia, Datuk Seri Rossa, bersedia dan terbuka berkongsi perjalanan hidupnya dengan peminat.

Bagi Rossa, apa yang tergambar dalam fikirannya adalah memberi manfaat kepada insan lain menerusi filem dokumentari berjudul 'All Access to Rossa 25 Shining Years'.

Di sebalik gemilang namanya yang diberi jolokan Ratu Pop Indonesia, seperti manusia lain, Rossa turut menyimpan seribu satu kisah lara, terutama cerita rumah tangganya dengan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali sebagi Yoyo, yang musnah di tengah jalan.

Lebih istimewa, filem itu turut menampilkan anak tunggal kesayangannya, Rizky Langit Ramadhan, 17 tahun.

Tidak ketinggalan, filem berdurasi sejam 30 minit itu juga menyoroti suka duka kehidupannya sebagai penyanyi papan atas di Indonesia dan Malaysia.

“Saya yakin banyak ‘Rossa’ yang lain, saya salah seorang wanita yang pastinya melalu banyak kesukaran dalam hidup. Ada yang bekerja sendiri untuk membiayai keluarga, mungkin penderitaan mereka lebih daripada saya.

“Kita tidak mendedahkannya. Mungkin ini saat saya berkongsi, saya ingin mengatakan anda tidak bersendirian kerana saya juga alami hal yang sama.

“Apa yang terlihat di layar kaca, kita menampilkan yang baik-baik, kebahagiaan atau kesenangan saja. Yang tidak baik, kita simpan dalam hati, di rumah baru kita buka,” katanya diselangi ketawa kecil ketika muncul dalam temu ramah khas bersama Editor Astro AWANI, Saharudin Musthafa.

Rakaman temu bual itu disiarkan di semua platform media sosial Astro AWANI pada Rabu.


Temu bual eksklusif bersama Rossa


NnQINuu6J0Y

Sebagai artis popular, sudah tentu kehidupannya tidak terlepas daripada gosip dan khabar angin, terutama dengan gelaran ibu tunggal yang disandangnya.

Lebih 15 tahun bersendirian, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, mengakui berteman namun sebagai manusia biasa, beliau memilih untuk menyerahkan segala perancangan di tangan Allah SWT.

“Saya tidak berkongsi kerana saya tidak tahu adakah ini ‘the one’. Sejujurnya sehingga ke saat ini, saya rasa belum bersedia untuk kembali berumah tangga.

“Bukan kerana apa tetapi lebih kepada mahu menyerahkan kepada Allah untuk menentukan. Kalau kita mencari tapi rezeki memang bukan untuk kita, kita tak dapat.

“Kalau kita tidak mencari tapi Allah kata ini rezeki kamu, kita tak boleh menolak. Jadi santai saja, kita lalui saja kehidupan dengan gembira,”katanya tenang.

Rossa dedah perjalanan hidup dalam 'All Access to Rossa 25 Shining Years' termasuk perihal rumah tangga yang musnah di tengah jalan.

Menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua, Rossa bersyukur dan gembira memiliki keluarga besar di sini yang sentiasa menerima kehadirannya dengan tangan terbuka.

Kata Rossa, Malaysia dan Indonesia sebagai dua negara berjiran, harus bijak menggunakan kelebihan itu dalam menyemai diplomasi seni dan hiburan, sekali gus memperkukuh persaudaraan yang sudah terjalin sekian lama.

“Kita sebagai sosok yang tidak terikat dengan politik kita boleh melihat semua sebagai saudara. Kita tidak pandang bahasanya atau penampilannya.

“Muzik itu sesuatu yang boleh dinikmati semua. Alangkah beruntungnya kita dalam industri hiburan dan saya yakin muzik dan filem boleh menyatukan budaya yang berbeza,” ujarnya.

Tambahnya, industri seni bersifat kompetitif, namun beliau sebagai penggiat, lebih selesa memfokuskan pada aspek pembaharuan dan kreativiti bagi menyajikan produk yang segar kepada peminat.

“Muzik akan sentiasa berevolusi. Kita tidak boleh jangka apa yang akan muncul di masa hadapan. Kerana itu saya juga mahu bergerak mengikut evolusi itu dan menampilkan pembaharuan dalam setiap hasil karya,” katanya lagi.

Menjengah ke lima tahun akan datang tatkala usia pembabitan dalam industri mencecah tiga dekad, Rossa tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya mahu terus berjalan mengikut arah yang sudah ditentukan.

“Saya seorang yang spontan, tidak pernah meletakkan sasaran tertentu. Selalunya perancangan yang saya buat bersifat spontan.

“Menyanyi adalah sebahagian daripada hidup saya dan saya akan terus menyanyi selagi hati saya masih mahu menyanyi.

“Tetapi saya tahu sampai satu masa saya mungkin tidak lagi seaktif sekarang. Mungkin ketika itu nanti saya akan bekerja di belakang tabir atau menumpukan pada perniagaan,” katanya menutup perbualan.

Filem All Access to Rossa 25 Shining Years arahan sutradara Ani Ema Susanti akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Oktober.