Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian editor video Astro AWANI, Ahmad Hafiz Azhar Nordin, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) pada pagi Isnin.
- Ahmad Hafiz Azhar, 36, maut akibat kecederaan di kepala dan dada setelah motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
- Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan.
Dalam perkongsian di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendoakan agar seluruh keluarga dan sahabat handai tabah dengan pemergian Allahyarham.
“Takziah kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar bin Nordin (Editor Video @501Awani) yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman.
"Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar berdepan dengan kehilangan ini. Al-Fatihah,” tulis Fahmi.
Ahmad Hafiz Azhar, 36, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) jam 7.09 pagi tadi.
Ketika kejadian, Allahyarham sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.
Menurut laporan perubatan hasil bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM), punca kematian Ahmad Hafiz Azhar adalah akibat kecederaan di kepala dan dada ekoran kemalangan itu.
Jenazah Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar dimandi dan dikafankan di HUKM sebelum dibawa pulang ke kampung halaman Allahyarham di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan.