KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memberi fokus kepada isu jenayah dalam talian seperti pedofilia, scam dan judi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memberi fokus kepada isu jenayah dalam talian seperti pedofilia, scam, dan judi, dengan hukuman lebih berat telah dikuatkuasakan mulai 11 Februari 2025.
  • Pindaan ini memperkenalkan istilah "jelik melampau" yang lebih khusus dan jelas, serta menyediakan huraian untuk digunakan dalam hujah di mahkamah.
  • Pindaan ini bertujuan menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan mampan, serta mengelakkan penyalahgunaan rangkaian untuk tujuan komersial seperti penjualan pornografi dan pedofilia.


Beliau berkata bermula 11 Feb lepas, hukuman lebih berat telah dikuatkuasakan bagi beberapa kesalahan seperti yang diluluskan di Parlimen pada Disember lepas.

"Ada beberapa perkara yang kini ditakrifkan sebagai kalau dahulu dipanggil jelik, kini dipanggil jelik melampau yang lebih khusus, tidak terlalu luas seperti dulu.

"Dalam pindaan ada dimasukkan huraian-huraian yang boleh digunakan untuk hujah bagi pihak pembelaaan atau pun pendakwaan di mahkamah... jadi ia lebih terang, lebih jelas, lebih khusus (dan) tidak boleh disalahgunakan seperti dulu," katanya ketika ditemui pemberita pada program Temu Anak Muda Lembah Pantai, di sini hari ini.

Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati menerima maklumat, terutama di media sosial dan mengelakkan dari menyebarkan berita yang tidak sahih.

Beliau berkata pengguna media sosial dinasihatkan supaya menjadikan media arus perdana sebagai rujukan utama dalam mendapatkan maklumat berkaitan sesuatu perkara," katanya.

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] mula berkuat kuasa pada Selasa lepas selepas diwartakan pada 7 Feb lepas, dan ia menyediakan ekosistem rangkaian internet lebih selamat serta mampan kepada pengguna.

Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Dis 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 melalui undi belah bahagian dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju manakala 40 Ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.

Fahmi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan berkata Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.

-- BERNAMA