Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, program itu bukan sekadar latihan kepimpinan, malah satu langkah penting dalam memastikan negara kekal berdaya saing dalam ekonomi digital global.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan digital rantau ini. DLE membuktikan komitmen negara dalam memperkasa pemimpin digital bagi memacu inovasi dan memberi impak bermakna kepada masyarakat serta industri.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan MADANI komited untuk mewujudkan ekosistem digital yang kukuh dan memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan digital, malah menjadi peneraju dalam bidang ini,” katanya dalam Majlis Graduasi Program DLE 2024 pada Isnin.
Program itu merupakan hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), dengan 50 pemimpin daripada sektor kerajaan, industri dan akademik menamatkan kohort pertamanya.
MCMC Tonggak Transformasi Digital
Sebagai agensi yang mengawal selia dan memacu pembangunan industri komunikasi serta multimedia di Malaysia, MCMC memainkan peranan utama dalam memastikan negara bergerak seiring dengan arus digitalisasi global.
Menurut Fahmi, kejayaan program DLE tidak mungkin dicapai tanpa perancangan strategik dan usaha berterusan MCMC dalam memperkukuh bakat serta kepimpinan digital negara.
“MCMC bukan sahaja berperanan dalam membangunkan infrastruktur digital negara, tetapi juga dalam mempersiapkan tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menerajui perubahan teknologi.
“Program DLE ini adalah bukti kesungguhan MCMC dalam membentuk ekosistem digital yang mampan, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi kuasa teknologi serantau,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada usahanya, MCMC turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei di Mobile World Congress 2024, meletakkan asas bagi kerjasama tiga tahun untuk membangunkan 300 pemimpin digital menjelang 2026.
Langkah Nyata ke Arah Digitalisasi Negara
Program itu turut melahirkan beberapa inisiatif utama, antaranya Projek Hab Pendidikan Tinggi Nasional AI yang diterajui Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan kecerdasan buatan terkemuka menjelang 2030.
Selain itu, Projek Kelestarian ESG Adoption for Malaysia SME diperkenalkan bagi membantu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi amalan lestari menerusi teknologi digital, dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sekadar wacana akademik, tetapi penyelesaian praktikal yang dapat menggerakkan ekonomi, meningkatkan kecekapan dan memastikan kemampanan jangka panjang,” ujar Fahmi.
Bahagian kedua program ini dijangka melibatkan 100 peserta, manakala fasa ketiga dan terakhir akan menyaksikan penyertaan 150 pemimpin menjelang 2026.
Sokongan Huawei & Masa Depan DLE
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun, menyifatkan DLE sebagai platform penting dalam membentuk bakat digital yang akan menjadi pemangkin kepada transformasi teknologi negara.
“Kami di Huawei berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Program ini bukan sahaja melahirkan pemimpin digital, tetapi juga memperkukuh ekosistem bakat yang akan membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi dalam ekonomi digital serantau,” katanya.
Program DLE berlangsung selama lapan bulan dengan merangkumi bidang utama seperti 5G, AI, Internet Benda (IoT), Pengkomputeran Awan, Data Raya, Teknologi Hijau dan Keselamatan Siber.
Sebagai sebahagian daripada program itu, peserta turut menjalani lawatan industri ke China, termasuk ke syarikat teknologi terkemuka seperti Da-Jiang Innovations (DJI), BYD Company Limited serta pusat penyelidikan Huawei di Dongguan.
Fahmi dalam ucapannya turut menggalakkan lebih ramai pemimpin sektor awam dan swasta menyertai program ini bagi memperkukuh daya saing organisasi mereka.
“DLE bukan sekadar program latihan, ia adalah perjalanan transformasi yang membekalkan kemahiran, rangkaian dan wawasan untuk mencetus impak sebenar dalam landskap digital negara,” tambahnya.
