Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan hari ini memaklumkan jelajah yang telah dimulakan kementerian itu, digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena Hari Keselamatan Internet 2025 yang disambut hari ini, Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
"Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Antara fokus utama kempen ini ialah melarang kanak-kanak di bawah 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial serta memastikan penggunaan internet berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Selain itu, kempen ini turut meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan jenayah pedofilia, selain menggalakkan penggunaan internet secara selamat dan beretika.
Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di bawah inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Jan lepas.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)